Tidak potong bekalan elektrik

PUTRAJAYA 21 Dis. – Keputusan melegakan apabila kerajaan memberi jaminan tidak akan memotong bekalan  elektrik di premis pengguna domestik di Semenanjung dan Sabah yang mempunyai tunggakan kurang daripada enam bulan.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata inisiatif itu hasil kerjasama dan persetujuan Tenaga Nasional Bhd (TNB) dan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB).

Langkah itu (sepanjang tempoh 1 Jan hingga 31 Mac 2021), akan memberi manfaat kepada 6.94 juta pengguna domestik di Semenanjung dan 500,000 pengguna domestik di Sabah yang layak.

“Kategori pengguna ini akan diberi kemudahan untuk membuat pembayaran secara ansuran selama enam bulan mulai 1 Jan hingga 30 Jun 2021,” katanya selepas menghadiri majlis perhimpunan Kementerian Tenaga dan Sumber Asli, di sini hari ini.

Shamsul Anuar berkata pengguna yang mempunyai tunggakan melebihi enam bulan pula boleh berunding dengan pihak TNB dan SESB untuk membuat pembayaran secara ansuran bagi mengelakkan pemotongan bekalan elektrik.

“Kita faham kesan kepada TNB tapi kita juga faham apa yang sedang dihadapi rakyat. Maknanya kita mengambil jalan tengah untuk menjaga kewangan di TNB dan melihat keperluan dan kepentingan rakyat,” katanya. 

Beliau berkata kementerian juga akan meminta pihak TNB untuk mengaktifkan kaunter-kaunter di kedai tenaga bagi membolehkan rakyat berurusan dengan mudah.

Shamsul Anuar berkata ia merupakan inisiatif tambahan untuk rakyat yang menghadapi kesukaran dari segi kewangan kesan daripada pandemik Covid-19.

Sementara itu beliau berkata kadar tarif elektrik untuk pengguna domestik dan industri bagi 2021 akan diumumkan minggu ini.

“Kita akan umumkan dalam minggu ini. Tunggu,” katanya

Pada Jun lepas, Shamsul Anuar berkata kerajaan memberi jaminan bahawa kepentingan rakyat akan sentiasa menjadi keutamaan dalam menilai semula kadar semasa tarif elektrik.

Related posts

Leave a Comment