PUTRAJAYA 8 Dis. – Kes positif baharu Covid-19 kekal empat angka dengan 1,012 kes dilaporkan hari ini menjadikan jumlah keseluruhan 75,306 kes, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.
Daripada jumlah itu tujuh adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara manakala penularan dalam negara pula berjumlah 1,005 kes.
Bilangan kes sembuh adalah sebanyak 1,750 menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh sepenuhnya adalah 64,056 kes atau 85.1 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.
Dalam kenyataannya hari ini, Dr Noor Hisham berkata jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan pula adalah 10,862 kes dengan empat kematian dilaporkan hari ini, menjadikan jumlah korban 388 kes atau 0.52 peratus daripada keseluruhan kes.
Dr Noor Hisham berkata sehingga kini terdapat 126 kes positif Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 62 kes memerlukan bantuan pernafasan.
Empat kematian dilaporkan kesemuanya adalah wanita dan direkodkan di Sabah dengan tiga daripadanya membabitkan warganegara dan satu bukan warganegara.
Dua pesakit warga tempatan meninggal dunia di Hospital Tawau membabitkan seorang pesakit darah tinggi berusia 64 tahun dan seorang pesakit mempunyai sejarah penyakit kencing manis, darah tinggi dan buah pinggang kronik berusia 33 tahun, manakala seorang lagi pesakit berusia 92 tahun dengan rekod penyakit hernia, anaemia dan osteoartritis yang jenazahnya dibawa ke Hospital Lahad Datu.
Satu-satunya bukan warganegara yang meninggal dunia hari ini berusia 90 tahun dengan jenazahnya dibawa ke Hospital Tuaran.