Faizal letak jawatan MB Perak

IPOH 5 Dis. – Ahmad Faizal Azumu mengumumkan peletakan jawatan sebagai Menteri Besar Perak selepas menghadap Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah untuk menyembahkan warkah peletakan jawatan tersebut.

“Alhamdulillah pada jam 3.00 petang, 5 Disember 2020, saya telah diperkenankan untuk menghadap Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Alhmarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah, Almarghfullah.

“Saya amat menjunjung kasih di atas perkenan Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan dan di kesempatan berkenaan saya telah menyembahkan warkah peletakan jawatan saya sebagai Menteri Besar Perak Darul Ridzuan dan seluruh Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak Darul Ridzuan.

“Saya menyembahkan rasa penghormatan untuk berkhidmat di bawah naungan kerajaan Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan,” katanya dalam satu sidang media khas di sini hari ini.

Beliau mengakui, pengalaman itu adalah sesuatu yang amat bermakna, penuh dengan pelbagai cabaran.

“Bagi pihak seluruh pentadbiran Kerajaan Negeri yang saya pimpin, saya menyusun sepuluh jari memohon ampun dan maaf atas segala kekurangan ataupun setiap satu perkara yang tidak disenangi.

“Saya telah cuba melakukan yang terbaik dan sebagai manusia biasa yang tidak sempurna dan tentu ada berlaku salah dan silap. Ampun dan maaf dari saya,” katanya.

Ahmad Faizal yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chenderiang gagal mendapat sokongan dalam usul undi kepercayaan majoriti ahli Dewan, semalam hanya mendapat sokongan 10 undi berbanding 48 menentang, manakala satu berkecuali terhadap usul itu yang dibawa Abd Manap Hashim (BN-Pengkalan Baru).

Related posts

Leave a Comment