Belanjawan 2021 lulus

KUALA LUMPUR 26 Nov. – Rang Undang-undang Perbekalan 2021 (Belanjawan 2021) diluluskan di peringkat dasar pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Belanjawan, yang pertama dibentang di bawah kerajaan pimpinan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin diluluskan dengan lebih suara bersetuju.

Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz membentangkan Belanjawan 2021 pada 6 November lepas dan seramai 82 Ahli Parlimen mengambil bahagian dalam perbahasan yang berlangsung dari 9  hingga 19 November .

Menteri-menteri berkenaan mula menggulung pada 23 November sebelum Tengku Zafrul menggulung bagi pihak Kementerian Kewangan hari ini diikuti dengan pengundian untuk meluluskan Belanjawan itu.

Mengikut Takwim Dewan Rakyat, ia kini akan dibahas di peringkat jawatankuasa selama 10 hari sebelum undi belah bahagian sekali lagi diadakan.

Sebelum diluluskan, Dewan Rakyat tegang dengan tingkah laku beberapa anggota Parlimen yang bangun mencelah mahu meminta penjelasan malahan mempertikaikan sikap Yang Dipertua Dewan Rakyat, Azhar Azizan Harun.

Azhar terpaksa meninggikan suara ketika ketika Nik Nazmi Nik Ahmad (PKR – Setiawangsa) cuba mencelah dan memintanya mengawal Dewan dan bukan hanya menegur pihak pembangkang sahaja.

Azhar Azizan berkata, beliau membenarkan mana-mana ahli Parlimen mencelah ketika sesi itu meskipun bukan pada waktu perbahasan.

“Saya benarkan kamu mencelah, tidak ada satu yang saya bantah. Jangan tuduh yang bukan-bukan. Apabila sesuatu salah saya kena tegur, tidak kira siapa,” tegasnya sebelum Dewan diam seketika.

Sebelum undian dibuat, Mahfuz Omar (PH-Pokok Sena) mahu pengundian dibuat secara en bloc tetapi gagal apabila cadangan itu tidak mendapat sokongan sekurang-kurangnya 15 ahli parlimen.

Ketika semakan dibuat kakitangan Dewan Rakyat, hanya 13 ahli parlimen yang berdiri untuk menyokong cadangan Mahfuz.

Nama 13 ahli Parlimen itu kemudiannya tular. Mereka adalah

1. Mahathir Mohamad (Langkawi)
2. Mukhriz Mahathir (Jerlun)
3. Mahfuz Omar (Pokok Sena)
4. Khalid Samad (Shah Alam)
5. Hanipa Maidin (Sepang)
6. Mat Sabu (Kota Raja)
7. Mujahid Yusof Rawa (Parit Buntar)
8. Hatta Ramli (Lumut)
9. Anuar Tahir (Temerloh)
10. Dzulkefly Ahmad (Kuala Selangor)
11. Hasanuddin Yunus (Hulu Langat)
12. Hasan Bahrom (Tampin)
13. Salahuddin Ayub (Pulai)

Bagaimanapun hari ini adalah kekangan pertama yang perlu dilalui belanjawan kerajaan Perikatan Nasional kerana selepas ini akan dibawa ke peringkat jawatankuasa untuk dibahaskan sebelum ia sekali lagi diundi sebelum diluluskan.

Sokongan hari ini dibuat selepas Menteri Kewangan mengumumkan pelbagai peruntukan tambahan termasuk kebenaran mengeluarkan wang dari Akaun 1 KWSP seperti yang dituntut pelbagai pihak.

Untuk rekod ada beberapa cara sesuatu usul itu diterima atau ditolak.

Mengikut peraturan Yang Dipertua Dewan akan bertanya sokongan pihak yang setuju sebelum menguji undian suara mereka yang tidak bersetuju.

Sekiranya terdapat lebih banyak suara ahli parlimen yang bersetuju, undian akan diluluskan.Namun, mana-mana ahli Parlimen boleh mempertikaikan keputusan tersebut dengan meminta undian secara en bloc – atau belah bahagi – dibuat.

Bagaimanapun ia memerlukan sekurang-kurangnya 15 ahli parlimen menyokongnya.

Related posts

Leave a Comment