Tiada keperluan darurat

YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Riáyatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini bertitah tiada keperluan untuk darurat diisytiharkan di negara ini.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Ahmad Fadil Shamsuddin memaklumkan Al-Sultan Abdullah bertitah perkara itu diputuskan setelah memperhalusi permohonan yang dipersembahkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan berbincang dengan Raja-Raja Melayu selain melihat situasi sedang dihadapi negara ketika ini.

“Al-Sultan Abdullah berpendapat tiada keperluan buat masa ini untuk Seri Paduka Baginda mengisytiharkan darurat di negara ini atau mana-mana bahagian negara Malaysia,” kata Ahmad Fadil dalam kenyataan Istana Negara. (LIHAT KENYATAAN PENUH)

Terdahulu, Al-Sultan Abdullah mengadakan perbincangan khas bersama Raja-Raja Melayu yang berlangsung hampir tiga jam di Istana Negara. 

Perbincangan itu dihadiri oleh Sultan Terengganu, Raja Perlis, Sultan Selangor, Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Sultan Johor, Sultan Perak, Sultan Kedah dan Pemangku Raja Pahang.

Sementara itu Raja-Raja Melayu menzahirkan penghargaan kepada Yang di-Pertuan Agong kerana memilih untuk melakukan rundingan dan konsultasi sebelum memberi perkenan serta menzahirkan keputusan penting.

Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Syed Danial Syed Ahmad dalam satu kenyataan rasmi pada Ahad, memaklumkan semangat itu selaras dengan budaya syura yang sangat dianjurkan Islam ketika ummah menghadapi sesuatu persoalan yang memerlukan penyelesaian.

Dalam perjumpaan itu, raja-raja telah mencambahkan pandangan dan menzahirkan pendapat secara terbuka dan berterus terang dalam semangat saling menghormati, agar dapat dijadikan bahan panduan dan rujukan, membantu baginda membuat ketetapan.

Related posts

Leave a Comment