Fokus tangani krisis

TIMBALAN Presiden UMNO, Mohamad Hasan menggesa supaya kerajaan menangani krisis kesihatan yang dihadapi negara dengan mempertahankan perlembagaan, membenarkan demokrasi berfungsi, memperkemaskan respons sistem kesihatan dan keselamatan awam.

Di samping itu kepentingan rakyat biasa juga perlu diutamakan dengan tidak menambahkan kesusahan kepada mereka,

“Sesuatu yang membelakangkan sains, menjejaskan ekonomi dan memencilkan peranan perlembagaan akan meletakkan negara dan rakyat Malaysia dalam keadaan yang lebih sulit dan memburukkan lagi keadaan,” katanya dalam satu kenyataan melalui Facebooknya.

Beliau menyeru agar kerajaan menangani krisis ini dengan fokus, berpelembagaan dan mempergiatkan segala usaha mendidik masyarakat berasaskan sains dan data.

Katanya, pandemik ini hanya akan dapat diatasi dengan pendekatan saintifik, pemulihan ekonomi dan kepatuhan kepada perlembagaan.

Mohamad menegaskan, Malaysia berada dalam krisis kesihatan yang tidak pernah ia hadapi dalam sejarah.

Namun katanya, ia bukan suatu krisis kesihatan yang unik kepada Malaysia. Pandemik virus corona adalah wabak global yang juga dihadapi oleh hampir semua negara lain di dunia.

Jelasnya, yang membezakan ialah skala kebolehjangkitan dan korban dari wabak ini. Sehingga kini Malaysia masih berada dalam keadaan yang jauh lebih baik dari kebanyakan negara lain.

“Kemampuan sistem kesihatan Malaysia menangani krisis ini adalah teruji dan telah diiktiraf sebagai salah satu negara dengan tindakan terbaik dan wajar dicontohi.

“Justeru, apa jua tindakan menangani krisis ini mestilah memaparkan keupayaan Kerajaan bertindak dengan wajar, saintifik dan mengambil kira kepentingan awam,”ujarnya.

Mohamad berkata, Malaysia tidak berada dalam kelumpuhan ekonomi, sistem kesihatan dan keselamatan awam.

Malah Malaysia telah berada dalam fasa pemulihan ekonomi yang terfokus, dirangsang dengan pelbagai stimulus yang selari dengan kepentingan rakyat dengan sistem kesihatan yang berfungsi dengan baik walaupun tertekan.

Rakyat yang terkesan dengan krisis ini juga terus patuh dengan protokol kesihatan yang diwartakan malahan rakyat  terus gigih berikhtiar memberdayakan diri mereka dengan pekerjaan dan perniagaan bagi kelangsungan kehidupan.

Related posts

Leave a Comment