Bertenang, hindar spekulasi

YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah akan mengadakan rundingan dengan Raja-Raja Melayu di Istana Negara dalam masa terdekat bagi membincangkan dan memperhalusi cadangan-cadangan yang dikemukakan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin berhubung isu ‘pentadbiran negara’.

Sehubungan dengan itu, Al-Sultan Abdullah menasihati seluruh rakyat supaya bertenang, tidak panik dan bersabar dalam menghadapi situasi terkini ini sementara menunggu keputusan mengenai cadangan-cadangan tersebut.

“Seluruh rakyat turut dinasihati supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh  menimbulkan kekeliruan dan keresahan serta menggugatkan ketenteraman negara yang kita cintai bersama” kata kenyataan Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut kenyataan itu, Seri Paduka Baginda berkenan menerima sembah taklimat Perdana Menteri berhubung cadangan-cadangan yang telah dicapai Mesyuarat Khas Jemaah Menteri semalam.

Ahmad Fadil berkata, Al-Sultan Abdullah telah berkenan menerima menghadap Muhyiddin di Istana Abdul Aziz, Kuantan pada jam 5 petang semalam.

Sesi menghadap tersebut dimohon Perdana Menteri susulan daripada Mesyuarat Khas Jemaah Menteri yang dipengerusikan beliau di Putrajaya pada pagi semalam.

“Dalam sesi yang berlangsung selama lebih kurang satu setengah jam ini, Al-Sultan Abdullah telah berkenan menerima sembah taklimat cadangan-cadangan yang telah dicapai oleh Mesyuarat Khas Jemaah Menteri tersebut untuk pertimbangan dan ampun perkenan Seri Paduka Baginda untuk pelaksanaannya,” katanya.

Al-Sultan Abdullah amat memahami keperluan kelangsungan pentadbiran negara untuk memerangi ancaman wabak Covid-19 malah Seri Paduka Baginda turut amat prihatin terhadap kegelisahan dan kegusaran rakyat ekoran daripada perkembangan terkini ini.

Berhubung dengan kenaikan mendadak kes positif harian Covid-19 dan kewujudan beberapa kluster baharu yang berterusan di negara ini, Al-Sultan Abdullah mengulangi titah nasihat Seri Paduka Baginda kepada rakyat untuk terus memainkan peranan masing-masing dan berdisiplin mematuhi prosedur operasi standard (SOP)  dan tatacara amalan kebiasaan baharu dalam membantu pihak berkuasa memerangi Covid-19 demi keselamatan diri serta masyarakat.

Al-Sultan Abdullah turut mengajak seluruh rakyat untuk bersama Seri Paduka Baginda  berdoa semoga Malaysia sentiasa dirahmati dan dilindungi dari segala bentuk ancaman serta penularan Covid-19 ini dapat dibanteras dengan berkesan dan diakhiri dengan segera.

Related posts

Leave a Comment