PM Ardern menang besar

PARTI Buruh pimpinan Perdana Menteri Jacinda Ardern memperoleh kemenangan besar dalam Pilihan Raya Umum New Zealand, 17 Oktober.

Ketika lebih 80 peratus undi sudahpun dikira, Parti Buruh memperoleh majoriti daripada 120 kerusi parlimen.

Pemimpin Pembangkang dari Parti Nasional Judith Collins sudahpun mengaku kalah.

Lebih daripada sejuta pengundi telah menjalankan tanggungjawab mereka dalam pengundian awal yang dibuka pada 3 Oktober lepas.

Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya, Parti Buruh meraih 49 peratus undi iaitu jauh lebih tinggi berbanding 27 peratus undi yang diperoleh Parti Nasional.

Ini bermakna Ardern, 40 tahun, boleh membentuk pemerintahan parti tunggal yang pertama sejak beberapa dekad.

Kemenangan beliau dilihat sebagai sokongan kukuh rakyat New Zealand terhadap kecemerlangan beliau menangani pandemik Covid-19.

Popularitinya melonjak awal tahun ini setelah berjaya memimpin usaha melawan Covid-19 ketik banyak negara lain terjejas teruk.

Pada masa ini, tiada penyebaran virus dalam kalangan komuniti direkodkan di negara yang mempunyai populasi penduduk seramai lima juta orang itu.

Penduduk di negara itu juga kini tidak lagi diwajibkan memakai pelitup muka atau menjaga penjarakan fizikal.

Semasa kempen baru-baru ini, Ardern disambut bagaikan bintang apabila masuk ke pusat beli belah di mana ramai orang berswafoto dengannya.

Undian yang pada awalnya dijadualkan pada bulan September ditunda sebulan selepas wabak Covid-19 melanda negara itu.

Undi majoriti yang diperolehi Ardern juga meningkatkan peluang beliau untuk melaksanakan agenda pembaharuannya seperti yang dijanjikan dalam penggal pertama pemerintahannya.

Ardern berikrar menaikkan cukai ke atas golongan berpendapatan tinggi manakala Collins berjanji untuk memotong cukai jangka pendek.

Collins sudahpun menghubungi PM Ardern untuk mengucapkan tahniah ke atas kemenangan tersebut.

“Kepada Perdana Menteri Jacinda Ardern, yang telah saya hubungi, tahniah di atas keputusan anda kerana ia adalah, saya yakin, satu keputusan luar biasa bagi Parti Buruh,” ujar Collins ketika menyampaikan ucapan yang disiarkan di televisyen. 

Related posts

Leave a Comment