4,497 kes baharu di Indonesia

INDONESIA merekodkan 4,497 kes baharu Covid-19 hari ini, 11 Oktober menjadikan jumlah kumulatif meningkat kepada 333,449 kes dengan kes aktif sebanyak 66.578

Jakarta mencatatkan kes tertinggi, 1,389 kes dengan jumlah kumulatif 86,963 kes diikuti Sumatera Barat 350 kes (8,714 kes) manakala Jawa Tengah 318 kes.

Bagi kes kematian pula, sebanyak 79 lagi pesakit meninggal dunia menjadikan jumlah keseluruhan meningkat kepada 11,844 kematian.

Jawa Timur merekodkan kes kematian tertinggi iaitu 21 kes dengan jumlah kumulatif 3,425 manakala Jakarta 18 kes menjadikan 1,889 kematian.

Sebanyak 3,546 kes pesakit pulih hari ini yang membawa jumlah keseluruhan pesakit sembuh sepenuhnya 255,027 kes.

Kes sembuh tertinggi dicatatkan di Jakarta sebanyak 1,062 kes dengan jumlah kumulatif 71,454 kes diikuti Jawa Barat 555 kes dengan kumulatifnya 17.462. 

Sementara itu, Jakarta akan melaksanakan tempoh “peralihan” selama dua minggu di mana sekatan virus korona akan dilonggarkan mulai Isnin (12 Oktober ) setelah kadar jangkitan semakin berkurangan sepanjang dua minggu lalu.

Jakarta dengan kepadatan penduduk sekitar 11 juta melaksanakan semula langkah sekatan dalam masyarakat yang lebih ketat mulai pertengahan bulan September, susulan lonjakan dalam kes baharu Covid-19.

Gabenor Anies Baswedan berkata, disiplin harus berada pada tahap tinggi supaya rantaian jangkitan terkawal dan tidak perlu melakukan brek kecemasan sekali lagi.

Katanya, langkah-langkah baharu membolehkan perniagaan tidak penting bekerja dari pejabat, namun hanya pada separuh kapasiti tenaga kerja, sementara restoran dibenarkan menerima masuk pelanggan pada had 50 peratus kapasitinya.

Taman-taman dan muzium juga akan dibuka semula dengan beberapa sekatan sementara semua perniagaan perlu mematuhi protokol kebersihan yang ketat dan menyimpan rekod pengunjung bagi tujuan pengesanan kontak.

Katanya, kelonggaran sekatan dilaksanakan setelah jumlah pesakit yang diuji positif bagi Covid-19 semakin merosot dan bilangan pesakit yang dirawat dalam unit jagaan rapi di hospital-hospital di Jakarta juga merosot.

Related posts

Leave a Comment