Tubuh RCI Musang King

 

_*KENYATAAN MEDIA PRESIDEN PARTI PUTRA*_

1. Isu pencerobohan tanah haram dan dusun durian Musang King ibarat letupan petir yang menggegar rakyat seluruh negara.

2. Ia melibatkan tanah ribuan hektar yang diteroka secara haram berpuluh tahun lamanya. Sudah pasti kerajaan negeri telah kehilangan cukai atau pendapatan yang sudah pasti beratus juta ringgit.

3. Yang anehnya sudah ada laluan masuk ke tanah tersebut dan kenderaan lalu lalang sudah begitu lama tapi tidak ada apa-apa tindakan.
Apa peranan Jabatan Hutan, Majlis Daerah malah Penghulu atau Ketua Kampung selama ini? Kenapa Jabatan Hutan terutamanya berdiam diri? Di mana ADUN dan Ahli Parlimen kawasan tersebut sehingga wujud penceroboh tanah haram dan membuka ladang durian Musang King secara terbuka? Di mana _”rule of law”?_

Di mana penguatkuasaan undang-undang? Adakah kerana penerokaan tanah haram ini berada dalam hutan, maka “undang-undang rimba” digunapakai?

4. PUTRA dengan tegas mencadangkan TINDAKAN berikut untuk dilaksanakan dengan segera iaitu;

I. Kerajaan didesak agar menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat sehingga ke akar umbi bagaimana berpuluh tahun lamanya tanah di Raub ini telah diteroka secara haram dan kerajaan negeri kehilangan pendapatan ratusan juta ringgit.

Siasatan RCI tersebut dibuat secara terbuka dan semua pihak akan mengetahui hal sebenarnya termasuk apa yang berlaku di sabalik tabir.

Laporan penuh hendaklah didedahkan secara rasmi kepada umum untuk pengetahuan seluruh rakyat Malaysia, agar undang-undang wajib didaulatkan.

ii. Keseluruhan tanah yang terlibat ini pula SEGERA DIGAZETKAN sebagai Tanah Rizab Melayu. Tanah Rizab Melayu sudah banyak hilang tanpa diganti.

Di Pahang negerinya yang seluas 3,597,468.43 tetapi Tanah Rizab Melayu yang tinggal hanya sekitar 436,910.47 atau 12.14 peratus sahaja pada tahun 2014.

Jika saranan ini tidak dilakukan, maka ibaratnya “Melayu tidak hilang di dunia, tetapi bumi Melayu akan hilang di Malaysia”.

iii. Kemudian tanah ini sesudah digazetkan sebagai Tanah Rezab Melayu maka ia wajar diserahkan kepada agensi kerajaan, ditubuhkan perbadanan atau melantik mana-mana Koperasi yang berwibawa untuk menguruskan tanah tersebut yang ditanam dengan durian Musang King.

Pekebun-pekebun yang terlibat boleh menyewa balik tanah tersebut dengan kaedah ‘menang-menang’, adil dan saksama. Inilah cara terbaik dan PUTRA mengharapkan semua pihak menyokong cadangan yang dikira mulia dan berwibawa.

5. Parti PUTRA akan akan menyediakan Memorandum atau Nota Cadangan kepada Kerajaan Negeri Pahang serta kepada Istana Pahang bagi tujuan mendapat restu ampun perkenan Kebawah Duli Tuanku Pemangku Al Sultan Pahang Darul Makmur yang bersemayam di singgahsana dengan penuh daulat dan berkat, In sya Allah.

PUTRA PERKASA NEGARA.

*Dato Paduka Dr Ibrahim Ali*
_*Presiden PUTRA*_

 

Related posts

Leave a Comment