Indonesia hampiri 110,000 kes

THAILAND mencatatkan dua kes baharu Covid-19 membabitkan warga asing termasuk seorang pemain bola sepak Serbia berusia 29 tahun yang tiba di negara itu dengan penerbangan sewa khas pada 19 Julai. 

Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA) dalam satu kenyataan berkata,  seorang lagi ialah warga Finland berusia 41 tahun yang tiba dari Denmark pada 27 Julai dan telah menjalani kuarantin wajib di Bangkok. 

Memandangkan kedua-dua kes baharu itu membabitkan warga asing, Thailand mengekalkan rekod sifar jangkitan tempatan untuk hari ke-68.

Negara itu turut mencatatkan sifar kematian dalam tempoh 24 jam lepas. Setakat ini, Thailand mencatatkan 3,312 kes Covid-19 dengan 58 kematian. Sejumlah 3,315 orang yang dijangkiti telah pulih manakala 119 masih dirawat.

SINGAPURA mengesahkan 307 kes jangkitan Covid-19 hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan 52,512 kes. Majoriti kes terdiri daripada pekerja asing yang tinggal di asrama. Terdapat satu kes dalam komuniti yang melibatkan rakyat Singapura.

Menurut Kementerian Kesihatan Singapura (MOH), terdapat lima kes import yang diletakkan di bawah Notis Duduk Di Rumah sejurus ketibaan mereka di Singapura.

Dalam data penuh yang dikeluarkan semalam, Singapura mengklasifikasi 699 kes  sebagai kes import, 2,179 kes komuniti dan 49,327 kes penghuni asrama.

MOH turut melaporkan, sejumlah 46,491 atau kira-kira 90 peratus daripada keseluruhan kes telah pulih manakala 136 kes masih berada di hospital.

Sebanyak 5,551 pesakit dengan gejala ringan atau sihat secara klinikal tetapi diuji positif Covid-19 telah diasingkan dan dirawat di kemudahan komuniti.

Setakat ini, 27 orang meninggal dunia akibat komplikasi selepas dijangkiti Covid-19.

INDONESIA kini merekodkan 109,936 kes Covid-19 setelah 1,560 lagi kes baharu dilaporkan dalam tempoh 24 jam.

Berdasarkan data di laman sesawang rasmi pemerintah Indonesia berkenaan Covid-19, www.covid19.go.id , sebanyak 57,816 pesakit masih dalam pemantauan.

Bagi tempoh 12 tengah hari semalam sehingga 12 tengah hari ini, sebanyak 62 lagi kematian berlaku, menjadikan jumlah keseluruhan kematian meningkat kepada 5,193 orang.

Jakarta mencatatkan kes positif baharu tertinggi iaitu 368 kes, diikuti Jawa Timur (235), Jawa Tengah (143) dan selebihnya di wilayah-wilayah lain di Indonesia.

Bagi tempoh berkenaan juga, 21 lagi kematian berlaku di Jawa Timur, manakala di Jawa Barat 13 kematian, Jakarta (12 kematian) dan selebihnya di wilayah lain.

FILIPINA sehingga pukul 4 petang hari ini, 1 Ogos 2020, sebanyak 4,963 kes dilaporkan berdasarkan jumlah ujian yang dilakukan oleh 74 daripada 94 makmal. Dengan pertambahan itu jumlah keseluruhan kes kini meningkat 98,232.

Menurut Jabatan Kesihatan (DOH), sebanyak 93 kes sembuh dilaporkan menjadikan jumlah pemulihan kini 65,265.Kes aktif pula 30,928.

Sebanyak 17 kematian dilaporkan yang membawa jumlah kes 2,039.

Related posts

Leave a Comment