Brunei juga tidak hantar jemaah haji tahun ini

BRUNEI Darussalam turut menyertai keputusan Singapura dan Indonesia yang menangguhkan penghantaran jemaah haji negara itu ke tanah suci Makkah pada musim ini.

Menteri Hal Ehwal Ugama, Dato Paduka Seri Setia Ustaz Awang Badaruddin Pengarah Dato Paduka Awang Othman berkata, langkah itu dibuat berikutan penularan wabak Covid-19 yang masih menjadi ancaman kesihatan.

Beliau mengumumkan perkara itu dalam sidang akhbar bersama Menteri Kesihatan berkaitan situasi semasa Covid-19 di Kementerian Kesihatan Brunei Darussalam petang ini.

Katanya, keputusan tersebut yang turut mendapat perkenan Sultan Brunei juga telah mengambil kira pandangan serta nasihat Mufti kerajaan dari sudut hukum syarak dan juga Kementerian Kesihatan.

Kedua-dua pihak melalui satu persidangan yang diadakan pada Sabtu lalu sependapat situasi semasa pandemik itu tidak selamat kepada para jemaah.

Berikutan itu, pemergian 1,000 jemaah yang sudah terpilih terpaksa ditangguhkan pada tahun ini.

Sambil menyifatkan keputusan itu amat berat kerana menangguhkan hajat dan niat bakal jemaah, Awang Badaruddin berkata, ketetapan itu adalah demi keselamatan dan kesejahteraan bakal jemaah serta masyarakat seluruhnya.

Beliau juga menjelaskan, pada masa yang sama berikutan penularan wabak itu yang masih tidak menentu pengakhirannya, banyak persediaan atau urusan berkaitan keberangkatan jemaah masih tertangguh.

Urusan itu termasuk visa haji yang masih dibekukan, slot penerbangan, pengangkutan dan penginapan di Makkah, Madinah, Arafah dan Mina serta urusan penjagaan kesihatan yang melibatkan kakitangan Kementerian Kesihatan.

“ Oleh yang demikian jabatan urusan haji berpendapat, masa adalah sangat suntuk  untuk proses berkaitan sekiranya ibadah haji dibuka kepada jemaah haji luar negeri sama ada seperti biasa atau terhad,” katanya.

Related posts

Leave a Comment