Lega tetapi perlu berjaga-jaga

TERUSKAN berjaga-jaga. Itu nasihat Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong menjelang lebih banyak langkah pemutus litar ditarik balik esok (2 Jun) yang menyaksikan pembukaan semula tiga perempat sektor ekonomi dan satu pertiga pekerja kembali bekerja.

Menyifatkan satu kelegaan besar untuk semua, tetapi masih ada risiko, Lee mahu orang ramai mengambil langkah-langkah pencegahan termasuk mengekalkan jarakan selamat, pakai pelitup muka ketika di luar dan di tempat kerja, menjaga kebersihan diri dan kerap basuh tangan.

Mereka juga perlu mengelakkan tempat ramai orang dan perhimpunan.

“Jika kita lakukan semua ini, kehidupan akan dapat berlangsung lebih atau kurang normal, selepas pemutus rantaian. Kita tidak mahu kes COVID-19 meningkat semula, dan terpaksa diperketatkan semula.

“Walaupun selepas vaksin ditemui, kesemuanya tidak akan dengan mudahnya kembali seperti sebelumnya. Covid-19 telah mendedahkan betapa rapuhnya gaya hidup kita. Tetapi ia juga memberikan kita peluang, untuk membuktikan ketersediaan kita, dan menjadi lebih kuat,” katanya dalam hantaran Facebooknya.

Menurut Lee, jumlah kes harian dalam komuniti telah menurun dengan ketara. Lebih ramai pesakit kini pulih dan telah didiscaj berbanding dengan mereka yang masih menerima rawatan. Bagaimanapun, masih jauh lagi untuk Covid-19, dihapuskan.

Katanya, dengan ramai yang mahu untuk bertemu rakan-rakan di sekolah, melawat ibu bapa dan atuk serta nenek, Lee menasihatkan yang mereka perlu terus untuk ‘berhati-hati’ dan ‘berjaga-jaga’.

Dengan berakhirnya pemutus rantaian lapan minggu yang bermula 7 April, Perdana Menteri Singapura sekali lagi mengucapkan terima kasih kepada semua pihak, kerana melaksanakan peranan mereka, sehingga negara itu kini boleh dibuka semula dengan selamat.

“Kita semua perlu terus lakukannya bersama-sama. Jangan biarkan pengorbanan petugas kesihatan kita dan kesemua yang lain yang mengekalkan Singapura selamat, menjadi sia-sia,” katanya.

Related posts

Leave a Comment