Cubaan rentas negeri

MELAKA, Perak, Pulau Pinang mencatatkan cubaan pergerakan rentas negeri tertinggi. Ada 886 kes di Melaka, Perak 362 dan Pulau Pinang 284.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob berkata, semalam

sebanyak 2,539 kenderaan yang cuba merentas negeri atas alasan mahu pulang ke kampung, telah diarahkan berpatah balik oleh pihak polis.

“Setiap hari saya ulangi jangan buat rentas negeri dan semalam mungkin bila saya umum tiada lagi kebenaran lagi rentas negeri, mungkin ramai yang ingin mengambil kesempatan rentas negeri.

“Mungkin mereka takut hari ini ada sekatan jalan raya dan sebagainya, dan sebab itu ramai yang cuba merentas negeri,” katanya dalam sidang media harian.

Mengenai rentas daerah bagi tujuan mengunjungi sanak-saudara sempena Aidilfitri, beliau berkata, walaupun pergerakan itu dibenarkan, orang ramai tidak digalakkan melakukannya bagi menjaga keselamatan serta kesihatan bersama.

Beliau menjelaskan saranan tidak mengalakkan pergerakan rentas daerah pada hari raya seperti diambil oleh negeri Johor, adalah selaras dengan keputusan Kerajaan Persekutuan.

“Tidak digalakkan bukan menyekat. Kalau kita dengar, setiap hari Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah mengatakan, walaupun dibenarkan rentas daerah tetapi masyarakat tidak digalakkan bagi keselamatan bersama,” katanya.

Dalam perkembangan sama, larangan pergerakan rentas negeri yang diumumkan kerajaan semalam juga terpakai untuk suami isteri yang tinggal berjauhan, yang sebelum ini diberikan kebenaran rentas negeri seminggu sekali.

“Tiada lagi. Sesiapa sahaja tertakluk kepada peraturan yang saya umumkan semalam,” katanya. 

Sebelum ini suami isteri yang tinggal berjauhan atas sebab kerja dibenarkan untuk merentas negeri seminggu sekali.

Beliau juga menjelaskan kerajaan memberi kelonggaran untuk aktiviti kunjung-mengunjung pada musim perayaan ini terhad kepada hari raya pertama sahaja.

Tindakan tetamu bermalam di rumah ahli keluarga yang dikunjungi sebenarnya adalah satu kesalahan kerana melanggar garis panduan serta peraturan yang ditetapkan sebelum ini.

Related posts

Leave a Comment