MENTERI Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Masagos Zulkifli Masagos Mohamad bersyukur kerana bakal jemaah haji Singapura memahami keputusan sukar menangguhkan ibadah haji tahun ini.
Dalam satu catatan di Facebook beliau semalam, Masagof Zulkifli berkata, walaupun kecewa dan sedih, mereka berlapang dada menerima nasihat Mufti dan Majlis Fatwa demi keselamatan dan kesejahteraan jemaah dan rakyat Singapura.
“Kepada para jemaah yang terjejas, semoga hasrat anda untuk menunaikan ibadah haji akan dikabulkan di dalam suasana yang lebih aman dan selamat.
“Dan Allah menambah pahala tuan-puan atas kesabaran menghadapi cubaan pada bulan Ramadan dan menghitung pengorbanan tuan-puan sebagai ibadah Haji yang sudah pun sempurna. InsyaAllah., “ katanya.
Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) sebelum ini menangguhkan penghantaran 900 jemaahnya untuk menunaikan haji tahun ini disebabkan penularan wabak Covid-19 walaupun Arab Saudi belum memutuskan status ibadah itu.
Beliau yang juga Menteri Sekitaran dan Sumber Air itu, berkata, sepanjang penularan wabak ini, masyarakat Melayu/Islam berjaya melakukan penyesuaian dalam kehidupan seharian dan juga dalam amalan beragama kita.
“Dari penutupan masjid, tiadanya jemaah Tarawih dan solat Aidilfitri. Begitu juga ramai menyahut seruan tidak ziarah-menziarahi pada Hari Raya nanti,” katanya.
Beliau berkata, walaupun amat sukar, mereka terus bersikap positif dan berazam untuk menewaskan Covid-19 secepat mungkin bersama masyarakat lain di negara itu.
“Inilah bukti sikap kewarnegaraan, keperibadian masyarakat kita, tabah, cekal dan tolong-menolong satu sama lain. Dan bukti kemahiran para asatizah kita memimpin keperluan agama kita dalam suasana genting Covid-19,” katanya.