JUMLAH kes positif Covid-19 di Indonesia meningkat kepada 14,265 kes selepas 233 kes lagi dilaporkan dalam tempoh 24 jam iaitu 12 tengah hari semalam sehingga 12 tengah hari ini.
Jurucakap Pemerintah Indonesia berkenaan Covid-19, Achmad Yurianto berkata, dalam tempoh yang sama 18 lagi kematian menjadikan 991 kes.
Provinsi Jakarta masih mencatatkan kes kematian tertinggi iaitu 441 kes, diikuti Jawa Timur (149), Jawa Tengah (95) dan selebihnya di wilayah-wilayah lain di Indonesia.
SINGAPURA pula mengesahkan 486 kes baharu menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 23,822.
Data awal setakat tengah hari tadi menunjukkan hanya dua kes melibatkan penduduk tetap manakala selebihnya adalah pekerja asing yang tinggal di asrama.
Singapura pada Ahad melaporkan 33 kes yang sebelum ini diuji positif didapati tidak benar susulan timbul isu berkaitan penentukuran radas bagi salah satu kit ujian penyakit itu.
Kementerian itu berkata pihaknya telah mengambil tindakan segera bagi membetulkan keadaan, dan menambah bahawa makmal itu telah menghentikan semua ujian, dan sedang berusaha menyelesaikan isu penentukuran itu.
Sementara itu, sehingga 4 petang ini, FILIPINA merekodkan 292 kes menjadikan jumlah keseluruhan kes 11,086.
Jurucakap Jabatan Kesihatan Filipina membrritahu, tujuh kematian juga direkodkan menjadikan jumlah kes 728.
Dalam tempoh yang sama, 75 kes pulih dilaporkan menjadikan jumlah kes 1,999.
THAILAND melaporkan enam kes baharu yang turut melibatkan seorang kanak-kanak lelaki berumur enam tahun, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 3,015 kes. Tiada kematian dilaporkan dengan jumlah kematian kekal 56.
Jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA), Thaweesilp Wissanuyothin berkata kesemua kes adalah di wilayah-wilayah selatan termasuk kes dari Phuket.
Kanak-kanak itu dari selatan wilayah Narathiwat diuji positif selepas bapanya disahkan dijangkiti virus itu manakala satu lagi kes melibatkan warga Thailand berumur 22 tahun dari Yala yang dikesan daripada pengesanan kes yang dilakukan di wilayah itu.
Daripada 3,015 kes yang dilaporkan di Thailand, seramai 2,796 pesakit telah discaj daripada hospital dan telah pulang ke rumah.
BRUNEI DARUSSALAM kekal dengan 141 kes apabila tiada kes baharu dilaporkan.
Ketika ini enam kes sedang dirawat di Pusat Pengasingan Kebangsaan di mana dua daripadanya keitikal.
Menurut kenyataan Kementerian Kesihatan, kes sembuh juga kekal 134 orang manakala 108 orang sedang menjalani kuarantin.