Kes Singapura meningkat 22,460

INDONESIA melaporkan 16 lagi kematian menjadikan jumlah kematian akibat Covid-19  meningkat kepada 959 kes, manakala kes positif kini seramai 13,645.

Jurucakap Pemerintah Indonesia berkenaan Covid-19, Achmad Yurianto berkata bagi tempoh 12 tengah hari semalam sehingga 12 tengah hari ini, terdapat 533 kes baharu, manakala 113 pesakit sembuh menjadikan kes sembuh 2,607 orang.

Seramai 29,690 pesakit masih berada dalam pengawasan virus itu.

Provinsi Jakarta mencatatkan kematian tertinggi iaitu 427 kes diikuti Jawa Timur (141 kes), Jawa Barat (95) dan selebihnya dari wilayah lain di Indonesia.

Kementerian Kesihatan SINGAPURA,  mengesahkan sejumlah 328 pesakit lagi pulih tetapi merekodkan 753 kes positif baharu, menjadikan jumlah keseluruhan kes setakat ini 22,460.

Data awal setakat 12 tengah hari menunjukkan hanya sembilan kes membabitkan warganegara atau penduduk tetap Singapura manakala bakinya pekerja asing yang menghuni asrama pekerja.

Singapura, yang meningkatkan ujian koronavirus sehingga 40,000 sehari, setakat ini telah mengklasifikasikan sejumlah 1,272 sebagai kes komuniti, 579 kes import dan 624 kes membabitkan pekerja asing yang tinggal di luar asrama.

Ketika ini, 2,040 pesakit dibenarkan keluar hospital atau kemudahan penjagaan komuniti manakala 1,245 kes masih menerima rawatan dengan 22 berada dalam keadaan kritikal di unit rawatan rapi. Sebanyak 20 orang meninggal dunia kebanyakannya warga emas.

Jabatan Kesihatan FILIPINA mengesahkan sehingga pukul 4 petang 9 Mei, sebanyak 147 kes baharu dilaporkan menjadikan keseluruhan kes 10,610.

Pada masa yang sama lapan kematian dilaporkan menjadikan jumlah kes 704 manakala 108 kes lagi sembuh menjadikan 1,842. new recoveries.

Sementara itu THAILAND melaporkan empat kes baharu dan satu kematian, menjadikan jumlah kumulatif setakat ini ialah 3,004 kes dengan 56 kematian.

Kematian terkini membabitkan seorang lelaki rakyat Thailand berusia 68 tahun dari Bangkok yang didiagnosis dijangkiti virus maut itu pada pertengahan Mac dan keadaan kesihatannya semakin merosot dengan kegagalan buah pinggang dan jangkitan dalam darah. 

Daripada empat kes baharu itu, dua adalah dari wilayah selatan Yala di mana pihak berkuasa menjalankan pengesanan aktif kes susulan kadar jangkitan yang tinggi di kawasan itu yang membabitkan seorang wanita rakyat Thailand berusia 41 tahun dan seorang lelaki rakyat Thailand berusia 44 tahun. 

Satu kes membabitkan seorang wanita rakyat Thailand berusia 36 tahun yang merupakan kontak rapat kes yang disahkan sebelum ini dan satu lagi ialah seorang wanita rakyat Thailand berusia 28 tahun yang bekerja di Phuket.

Kementerian Kesihatan BRUNEI DARUSSALAM pula melaporkan kes positif kekal dengan 141 manakala kes sembuh 132 setelah tidak ada kes baharu dilaporkan hari ini.

Lapan kes masih dirawat di mana dua orang kritikal, memerlukan bantuan mesin pernafasan. Sebanyak 132 sedang menjalani kuarantin manakala 2,575 selesai tempoh kuarantin.

Related posts

Leave a Comment