Singapura catat 20,198 kes

SINGAPURA mengesahkan 788 kes baharu jangkitan Covid-19 hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan kes 20,198.

Kementerian Kesihatan Singapura (MOH) dalam satu kenyataan berkata majoriti kes baharu itu adalah daripada pekerja asing yang tinggal di asrama dan hanya 11 kes melibatkan rakyat atau pemastautin tetap republik itu.

Dalam data terperinci yang dikeluarkan lewat Selasa, Singapura setakat ini mengklasifikasikan 1,241 kes sebagai kes komuniti, 579 sebagai kes dari luar dan 592 kes melibatkan pemegang pas kerja yang tidak tinggal di asrama.

Kementerian itu berkata 16,289 kes yang mempunyai simptom ringan tetapi masih positif dalam saringan Covid-19 diasingkan dan dijaga di fasiliti komuniti.

Singapura setakat ini merekodkan 18 kematian akibat komplikasi jangkitan Covid-19.

Sementara itu THAILAND merekodkan satu kes baharu dan satu kematian menjadikan kes keseluruhan 2,989 dan 55 kematian.

Kes baharu itu melibatkan seorang tukang urut berusia 27 tahun yang baru pulang dari Russia pada Ahad dan menjalani kuarantin.

Dia mengalami demam, batuk dan sesak nafas. Hasil ujian yang dilakukan pada Isnin mengesahkan positif Covid-19.

Sementara kes kematian pula melibatkan seorang warga Australia berusia 69 tahun yang juga pengurus sebuah hotel di wilayah selatan Phangnga.

Lelaki itu menghidap asma dan jatuh sakit pada 25 Mac dengan mengalami batuk dan keletihan. Dia mendapatkan rawatan di sebuah klinik pada 28 Mac dalam keadaan demam, sesak nafas. Dia kemudian dimasukkan ke hospital di Phuket sebelum meninggal dunia pada Selasa.

Dalam tempoh 24 jam lalu juga, 14 pesakit pulih menjadikan kes pulih 2,761 manakala 173 masih dirawat di hospital.

INDONESIA mencatatkan 367 kes baharu dan 23 kematian dalam tempoh 24 jam menjadikan 12,438 kes dan 895 kematian

Jurucakap Pemerintah Indonesia berkenaan Covid-19, Achmad Yurianto berkata, 23 lagi kematian berlaku dalam tempoh 24 jam.

Achmad Yurianto berkata, 26,932 pesakit masih lagi berada dalam pengawasan virus itu, manakala mereka yang sembuh kini berjumlah 2,317 orang.

Provinsi Jakarta mencatatkan kes kematian tertinggi iaitu 414 kes diikuti Jawa Timur (123), Jawa Tengah (90) dan selebihnya di wilayah lain, Indonesia.

Jabatan Kesihatan FILIPINA (DOH) pula mengesahkan 320 kes baharu sehingga 4 petang ini menjadikan jumlah kes 10,004 manakala kematian meningkat kepada 658 apabila 21 lagi kes dilaporkan.

Jumlah kes sembuh pula kini 1,506 apabila 98 lagi disahkan sembuh.

Kementerian Kesihatan BRUNEI DARUSSALAM mengesahkan satu kes baharu menjadikan 139 kes.

Kes baharu itu melibatkan seorang lelaki berusia 40 tahun hasil pemantauan yang dibuat dalam kalangan rakyat termasuk pekerja asing. Kes masih dalam siasatan serta pengesanan kontak sedang dijalankan.

Sementara itu jumlah kes sembuh kekal 131 apabila tiada kes  baharu.dilaporkan pulih

Ketika ini tujuh kes sedang dirawat di Pusat Pengasingan Kebangsaan di mana dua kes kritikal yang memerlukan alat bantuan pernafasan.

Related posts

Leave a Comment