Pengguna perlu berdisiplin

MULAI hari ini, perkhidmatan pengangkutan awam beroperasi dengan mematuhi

prosedur operasi standard (SOP). Suasana baharu akan mewarnai kehidupan pengguna pengangkutan awam ini.

Pengguna tren Rapid KL yang menggunakan perkhidmatan itu diwajibkan mengikuti beberapa langkah kawalan pergerakan penumpang yang ditetapkan bagi memastikan penjarakan sosial dan kesesakan dapat dielak semasa berada di platform dan tren.

Hanya sebilangan penumpang yang dibenarkan masuk dan bergerak. Penumpang dijangka mengalami masa menunggu dan perjalanan lebih lama daripada biasa.

Pemeriksaan suhu badan akan dijalankan sebelum penumpang dibenarkan masuk ke dalam stesen dan penumpang yang mempunyai suhu badan yang tinggi perlu mengelak daripada menggunakan pengangkutan awam.

Pegawai stesen juga akan mengawal pergerakan penumpang sebelum atau selepas pintu automatik. Penumpang juga dinasihatkan sentiasa memakai penutup hidung dan mulut dan menggunakan cecair pembasmi kuman.

Penumpang turut dinasihat mengamalkan penjarakan sosial semasa berada di platform dan tren dengan berdiri di tempat yang ditanda garisan merah dan tidak duduk di kerusi yang dilekatkan dengan notis dan bertanda ‘X’.

Apa yang diharapkan penumpang dapat memberi kerjasama memenuhi SOP yang disediakan. Jangan pentingkan diri sendiri atau ambil mudah peraturan.

Rapid KL sudah tentu cuba melakukan yang terbaik untuk membantu mengawal wabak Covid-19. Menjadi tanggungjawab pengguna untuk mematuhi peraturan itu. Ikutlah peraturan yang disarankan. Sentiasa jaga kebersihan.

Sudah tentu dalam tempoh ini akan timbul pelbagai masalah kerana jumlah penumpang akan dihadkan. Tempat duduk akan berkurangan.

Buang sikap berebut-rebut. Sikap lama sebelum ini perlu dielakkan terutama dalam soal penjarakan sosial.

Diharapkan rakyat Malaysia mampu menunjukkan teladan yang baik dalam usaha memerangi wabak Covid-19:ini.

(Foto FB Rapid KL)

Related posts

Leave a Comment