KELAWAR dan tenggiling terus dikaitkan dengan Covid-19 apabila sekumpulan saintis antarabangsa mendapati virus SARS-CoV-2 berkemungkinan berasal daripada gabungan semula antara virus yang menjangkiti dua binatang liar itu.
Beberapa hasil kajian oleh penganalisis genom, menunjukkan virus Covid-19 berasal daripada kumpulan Betakoronavirus iaitu hampir sama dengan SARS-CoV yang telah dikenalpasti menyebabkan epidemik Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS) sekitar tahun 2002 hingga 2003.
Menurut World Economic Forum, sejak bermulanya epidemik SARS yang tercetus di Guangdong, China dan kemudian merebak ke 29 buah negara, Betakoronavirus turut dikesan pada kelawar serta manusia.
Kajian membuktikan bahawa sejenis spesis kelawar, Rhinolophus affinis (R. affinis) merupakan satu mod penyebaran jangkitan SARS-CoV dan Covid-19.
Apabila pihak penyelidik mengasingkan genom R. affinis, RaTG13, hasil kajian mendapati ia mempynai persamaan 96 peratus dengan genom Covid-19.
Namun pada 7 Februari 2020 lalu, saintis membuktikan persamaan yang lebih tinggi, iaitu 99 peratus antara genom Covid-19 dengan virus yang didapati pada tenggiling.
Menurut hasil kajian susulan itu, virus yang didapati pada kelawar tidak dapat menjangkiti manusia secara sendiri, manakala virus yang didapati daripada tenggiling pula boleh menjangkiti manusia.
Ini menyebabkan berlakunya penggabungan semula antara kedua-dua virus kelawar dan tenggiling yang akhirnya dipercayai menjangkiti manusia sebagai Covid-19.
Penyebaran virus COvid-19 dikatakan tercetus di bandar Wuhan, Wilayah Hubei, China sejak Disember 2019.
Sebelum ini agensi berita Xinhua melaporkan, kajian penyelidik di South China Agricultural University menunjukkan kemungkinan wabak koronavirus dikatakan berpunca daripada tenggiling yang diseludup.
Di samping itu, dua kajian yang diterbitkan menerusi jurnal Nature sebelum ini mendapati asal usul virus tersebut dibawa kelawar yang dijual secara terbuka di pasar haiwan liar dan disebarkan kepada manusia.
Difahamkan, tenggiling adalah salah satu daripada mamalia yang sering diseludup di Asia walaupun dilindungi undang-undang antarabangsa.
Virus korona dipercayai berasal daripada sebuah pasar hidupan laut yang juga merupakan antara salah satu pasar di China yang menjual hidupan liar seperti tenggiling, ular dan kelawar.
Setakat ini, Covid-19 telah menjangkiti lebih 700,000 dan meragut lebih 30,000 nyawa seluruh dunia.
Untuk maklumat lanjut layari laman World Economic Forum