UCAPAN berterus terang dan lebih mudah difahami. Maksudnya sampai. Duduklah diam-diam di rumah, di mana anda berada, tidak perlu ke mana-mana, bergerak ke sana dan ke sini atau lepak di kedai mamak. Sepatutnya ayat-ayat seperti itulah yang digunakan oleh Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin ketika muncul mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan malam kelmarin.
Lebih mudah sampaikan terus maksud atau tujuan kenapa langkah perintah itu dibuat. Beritahu apa yang harus rakyat buat sepanjang tempoh bercuti itu. Ini bukan cuti biasa atau cuti hari raya tetapi cuti ‘luar biasa’ yang matlamatnya bukan memberi peluang rakyat bercuti sama ada balik kampung, bersiar-siar sempena Tahun Melawat Malaysia 2020 atau menghadiri majlis kenduri kahwin.
Jika tidak silap, semasa perutusan itu, Perdana Menteri merayu dan meminta tolong dengan menyebut sekurang-kurangnya enam kali perkataan ‘duduk di rumah’ atau yang sama maksudnya, ‘stay at home’.
Semalam saya menulis mengenai isu ini di bawah tajuk ‘Sukarkah mematuhi percutian musim Covid-19 di rumah? . Ini berikutan timbul suasana panik masyarakat yang kalut membeli-belah dan juga keghairan balik kampung termasuk melibatkan pelajar-pelajar institusi pengajian tinggi. Situasi ini berlaku disebabkan ‘arahan atau kenyataan’ yang tidak tepat, bercelaru dan keliru.
Sudah menjadi lumrah orang kita, asal ada cuti, cukup tiga empat hari, akan penuhlah lebuh raya utara selatan, barat timur. Inikan pula dua minggu. Tambahan pula harga minyak turun. Mereka lupa atau tidak ambil peduli kenapa kerajaan sanggup memberi cuti 14 hari yang pastinya menjejaskan produktiviti negara.
Diharapkan penjelasan yang berterus terang dalam bahasa yang lebih mudah itu akan memperbetulkan tabiat atau sikap orang kita. Pantang mendapat cuti, mulalah susun rancangan ‘merayau’ ke sana sini memenuhi jalan raya dan lebuh raya serta stesen pengangkutan awam.
Diharapkan rayuan Perdana Menteri dapat didengar dan difahami oleh rakyat. Berkali-kali beliau merayu dan meminta tolong. Lebih-lebih lagi diulang siar ucapan itu berkali-kali oleh TV1. Seronok pula apabila mendengar nada ucapannya dan ungkapan yang disebut seperti “duduklah diam-diam di rumah”
“ Saya minta tolong untuk tempoh dua minggu ini dulu” Ya. Dua minggu sahaja kita bantu kerajaan memerangi wabak Covid-19.
Bukannya tidak boleh balik kampung tetapi masanya tidak sesuai. Kecuali benar-benar mustahak seperti menziarahi ibu bapa yang uzur atau kematian saudara mara terdekat. Bagi mereka yang sudah ada di kampung, selamat ‘bercuti’, duduklah diam-diam di sana, jaga kebersihan dan kesihatan. Jaga ‘adab’ pada musim Covid-19 ini.
Kata Muhyiddin lagi “ Saya ingin merayu kepada saudara-saudari. Tolonglah. Stay put where you are. Yang ada di Kuala Lumpur, duduklah di Kuala Lumpur. Yang ada di Johor Bahru duduklah di Johor Bahru. Kalau di Pulau Pinang, duduklah di Pulau Pinang,”.
Semoga penjelasan Muhyiddin itu dapat mendorong orang ramai bersatu mengurung diri selama dua minggu bersama keluarga masing-masing. Elakkan berkeliaran tanpa tujuan di luar rumah. Buatlah aktiviti di rumah.
Pada masa yang sama pihak stesen televisyen hendaklah sentiasa memaklumkan perkembangan semasa mengenai wabak ini. Cukup untuk lima atau 10 minit ada pihak kerajaan yang bercakap mengenai perkembangan wabak ini atau garis panduan yag perlu diikuti.
Hanya kerjasama orang ramai dapat membantu usaha membendung wabak ini daripada terus menular.
Ingat trend kes semakin meningkat. Mampukah dua minggu ini dimanfaatkan? Atau waktu itu perlu ditambah dan ketika itu masing-masing akan bosan, tidak dapat ke sekolah, bekerja, berniaga, beribadat di masjid dan surau, lepak di restoran dan macam-macam lagi rutin kehidupan harian