Singapura lanjut tutup masjid

SINGAPURA: Penutupan kesemua 70 masjid di Singapura yang sepatutnya berakhir pada 17 Mac dilanjutkan lagi selama sembilan hari menjadikan penutupan keseluruhan 14 hari.

Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Masagos Zulkifli, mengumumkan, langkah itu diambil setelah lima jemaah tabligh Singapura yang menghadiri perhimpunan tabligh di Malaysia baru-baru ini, didapati positif Covid-19.

Mereka ini dilaporkan pernah berkunjung ke 10 buah masjid di serata negara ini.

Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS), memaklumkan kemungkinan lebih banyak kes akan muncul” menerusi penularan ‘kategori kedua’ iaitu orang yang berhubung rapat dengan kelima-lima jemaah tersebut, ataupun menerusi anggota masyarakat yang pernah berkunjung ke 10 masjid berkenaan semasa tempoh berjangkit.

MUIS dalam satu kenyataan memaklumkan, mustahil untuk mengenal pasti semua orang dalam ‘kategori kedua’ itu. Dalam perkataan lain langkah pengesanan tidak akan mencukupi untuk mencegah penularan virus itu.

Setelah merujuk kepada Kementerian Kesihatan (MOH), MUIS percaya bahawa “risiko terbentuknya satu kelompok besar” daripada 82 hingga 95 jemaah tabligh Singapura yang menyertai perhimpunan di Malaysia itu adalah sesuatu yang nyata.

Disebabkan itu juga MUIS menerima saranan MOH agar penutupan kesemua masjid Singapura dilanjutkan lagi sembilan hari sehingga 26 Mac ini, sekali gus bermakna solat Jumaat minggu ini juga terpaksa ditiadakan. 

Related posts

Leave a Comment