Terus waspada Covid-19

KETIKA kes jangkitan Covid-19 dikatakan stabil tetapi masih perlu berwaspada, angka kematian dan kes baharu yang dilaporkan di wilayah Hubei, China terus meningkat.

Pihak berkuasa kesihatan Hubei melaporkan, sebanyak 242 kematian baharu dicatatkan menjadikan jumlah 1,310 orang sementara 14,840 kes baharu dilaporkan sehingga Rabu.

Menurut statistik  the_wuhan_virus, jumlah kes kini meningkat kepada 60,095.

Pertubuhan Kesihatan Sedinia (WHO) sebelum ini memberi amaran, wabak ini boleh menuju ke mana-mana arah dan penyebaran Covid-19 dalam kalangan orang yang belum ke China boleh menjadi “percikan api yang boleh menjadi api lebih besar”

Justeru masyarakat dunia perlu berwaspada dan mengambil langkah berjaga-jaga supaya tidak membiarkan epidemik itu menjadi luar kawalan.,

Sementara itu penelitian terbaru dikendalikan pasukan perubatan menjangkakan penularan wabak Covid-19 bakal memuncak pada bulan ini, sebelum berakhir menjelang April nanti.

Pakar epidemiologi, Zhong Nashan yakin,  kadar penularan wabak itu akan semakin menyusut tidak lama lagi, berikutan wujud pengurangan jumlah kes baharu dilaporkan di sesetengah tempat.

Menerusi unjuran menggunakan model matematik, perkembangan semasa dan rangkaian tindakan kerajaan, beliau berkata, kemuncak penularan Covid-19 dijangkakan berlaku pertengahan atau akhir bulan ini, disusuli keadaan mendatar dan penurunan kes.

“Saya berharap penularan wabak ini akan berakhir sekitar April. Kita tidak tahu mengapa virus ini sangat mudah berjangkit, justeru ia masalah besar kepada kami,” katanya.

Bersandarkan statistik semasa, Nashan berkata, wilayah selatan Guangdong mencatatkan penurunan kes baharu jangkitan malah perkembangan sedemikian dilaporkan di beberapa kawasan lain seperti Zhejiang.

Sementara itu di Singapura, tiga lagi kes baharu dikenal pasti semalam menambah jumlah kes jangkitan di negara itu kepada 50. Semua kes baharu itu tiada kaitan dengan sebarang kes sebelum ini dan tidak pergi ke China baru-baru ini.

Dua kes itu melibatkan dua warga Singapura lelaki berusia 34 tahun dan 46 tahun yang bekerja di gereja Grace Assembly of God. Mereka telah ke dua cawangan gereja itu, di Tanglin dan Bukit Batok sebelum dimasukkan ke hospital.

Kes jangkitan ketiga merupakan warga Singapura lelaki berusia 62 tahun yang bekerja di DBS Asia Central di Pusat Kewangan Marina Bay.

Berikutan kes itu, DBS, bank terbesar di Singapura mengarahkan 300 kakitangan di ibu pejabatnya itu mengosongkan bangunan sebagai langkah berjaga-jaga.

Related posts

Leave a Comment