PUTRAJAYA: Semua warga Malaysia yang dibawa pulang dari Wuhan, China, berikutan penularan coronavirus (2019-nCoV), akan dikuarantin selama 14 hari, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.
Di samping itu, kru penerbangan dan pegawai kesihatan serta keselamatan yang membawa mereka pulang akan turut dikuarantin dan sepanjnag tempoh berkenaan, ahli keluarga masing-masing juga tidak boleh datang melawat.
“Mana-mana individu yang menunjukkan gejala akan terus dibawa ke hospital rujukan sama ada Hospital Sungai Buloh atau Hospital Kuala Lumpur. Mereka yang tiada gejala akan dibawa ke pusat pemantauan terletak tidak jauh dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA),” katanya.
“Saya yakin dalam tempoh 14 hari, belum ada yang boleh menziarahi. Mungkin mereka boleh berkomunikasi melalui telefon bimbit,” katanya pada sidang media harian di Kementerian Kesihatan, di sini, hari ini.
Dr Dzulkefly bagaimanapun enggan mendedahkan lokasi pusat pemantauan itu, sebaliknya menjelaskan bahawa ia dilengkapi kemudahan untuk proses terbabit.
Selain itu, beliau menegaskan, orang awam tidak perlu khuatir kerana semua individu berkenaan tidak akan memasuki terminal KLIA.
Menyentuh empat fasa proses membawa pulang pula, katanya, saringan terhadap semua rakyat Malaysia bersama pasangan dan anak mereka akan dilakukan oleh pihak berkuasa China di Lapangan Terbang Antarabangsa Tianhe Wuhan, sebelum dibenarkan menaiki pesawat AirAsia yang melakukan penerbangan misi bantuan kemanusiaan itu.
Dr Dzulkefly berkata, hanya mereka didapati sihat akan dibenarkan menaiki pesawat itu, manakala mereka yang menunjukkan gejala pula perlu tinggal di Wuhan untuk menjalani rawatan.
Beliau berkata, pemantauan akan dilakukan sepanjang penerbangan terhadap mereka yang dibawa pulang, dan diasingkan ke bahagian belakang pesawat sekiranya didapati mempunyai gejala.
“Apabila turun dari pesawat, mereka akan dibawa menaiki bas ke Unit Kecemasan Udara (ADU) untuk proses dekontaminasi dan saringan kesihatan, termasuk menukar pakaian dibekalkan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).
“Ia akan dijalankan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Kementerian Kesihatan sebelum pengurusan untuk membawa mereka ke hospital atau pusat pemantauan,” katanya.
Sementara itu, siaran langsung ketibaan mereka akan disiarkan di TV1 mulai pukul 4.15 pagi esok (Selasa).