KUALA LUMPUR: Rakyat di negara ini perlu bertindak secara tenang, rasional dan penuh tanggungjawab ketika berdepan penularan wabak coronavirus (2019-nCoV) yang sedang melanda dunia.
Gesaan itu dibuat oleh pelbagai golongan profesional dan badan bukan kerajaan (NGO) berkaitan perubatan.
Kumpulan itu terdiri daripada 10 NGO dan empat ahli profesional iaitu Dr Khor Swee Kheng dari Kolej Kerajaan Blavatnik, Universiti Oxford; Pengasas Persatuan Bantuan Perubatan Malaysia (MERCY Malaysia), Tan Sri Dr Jemilah Mahmood; Dekan Perubatan, Universiti Kebangsaan Malaysia UKM, Prof Dr Raja Affendi Raja Ali dan Presiden, Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Datuk Dr Zainal Ariffin Omar.
Antara NGO berkenaan ialah Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam; Persatuan Perubatan Islam Malaysia (IMAM); IKRAM Health Malaysia; Persatuan Farmasi Malaysia; Persatuan Perubatan Malaysia; Medical Mythbusters Malaysia dan Akademi Perubatan Keluarga.
Melalui kenyataan bersama, mereka turut meminta semua pihak berkepentingan, ahli politik malah rakan media memainkan peranan dengan bertindak secara penuh tanggungjawab dengan mendapatkan maklumat daripada sumber sahih terutama Kementerian Kesihatan (KKM).
Mengulas lanjut katanya, sikap tidak bertanggungjawab sesetengah pihak mencetuskan panik apabila berita palsu dan khabar angin disebarkan melalui media sosial.
“Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah juga sudahpun menitahkan rakyat supaya tidak menyebarkan berita palsu atau kontroversi.
“Kami memahami kekhuatiran rakyat mengenai kesihatan diri sendiri serta keluarga masing-masing. Namun kini, langkah yang terbaik adalah untuk kekal bertenang, mendapatkan maklumat sahih dari sumber yang rasmi dan sentiasa mengamalkan langkah berjaga-berjaga oleh KKM.
“Kami menyeru supaya kita menggunakan media sosial secara bertanggungjawab. Penyebaran berita atau khabar angin yang palsu adalah salah di sisi undang-undang, dan menggugat keberkesanan KKM,” menurut kenyataan itu.
Pada masa sama, kenyataan itu berkata, mereka menyokong kepemimpinan dan usaha KKM untuk melindungi rakyat malah ia terbukti dengan keupayaan Malaysia untuk mengatasi wabak penyakit yang diiktiraf oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
“Daripada rekod, Malaysia menduduki tangga ke-18 dalam Indeks Keselamatan Kesihatan Global oleh Pusat Johns Hopkins untuk Keselamatan Kesihatan, mengatasi Singapura dan Korea Selatan.
“Selain itu, Jurnal Perubatan British mendapati bahawa Malaysia adalah negara yang paling bersedia dalam keselamatan kesihatan menunjukkan bahawa perkhidmatan kesihatan di Malaysia adalah antara yang terbaik di seluruh dunia, ” katanya.
Katanya, ia juga jelas terbukti apabila golongan profesional kesihatan di Malaysia berjaya mengatasi ancaman wabak sebelum ini, seperti virus Nipah pada 1998, Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS) (2003), Influenza A (H1N1) (2009) dan Sindrom Pernafasan Asia Barat (MERS) (2014).
Menurut kenyataan itu, setiap hari pihak mereka tetap bertungkus-lumus melawan denggi, tuberkulosis dan HIV, serta pelbagai penyakit serius yang lain. Golongan profesional kesihatan Malaysia akan menerajui usaha untuk mengatasi situasi ini.