BN, Warisan di PRK Kimanis

BEAUFORT: Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis pada 18 Januari ini akan menyaksikan pertembungan satu lawan satu, antara calon Barisan Nasional (BN) dan Parti Warisan Sabah (Warisan).

Pengumuman rasmi calon bertanding dibuat Pengurus Pilihan Raya Parlimen Kimanis, Jupery Etok, pada pukul 10.25 pagi selepas tempoh penamaan calon di pusat penamaan di Dewan Datuk Seri Panglima Haji Mohd Dun Banir, Beaufort, di sini.

BN yang akan mempertahankan kerusi itu diwakili Datuk Mohamad Alamin, 48, manakala Datuk Karim Bujang, 66 sekali lagi akan mewakili Warisan.

Pada pilihan raya umum lalu, BN menenangi kerusi itu dengan majoriti 156 undi selepas calonnya, Datuk Anifah Aman mendapat 11,942 undi manakala Karim memperoleh 11,786 undi dan seorang lagi calon Jaafar Ismail dari Parti Harapan Sabah hanya mendapat 1,300 undi.

PRK parlimen Kimanis diadakan selepas Mahkamah Persekutuan pada 2 Disember lepas mengekalkan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Kota Kinabalu yang membatalkan kemenangan Anifah bagi kerusi itu pada PRU14.

Mahkamah Pilihan Raya Kota Kinabalu pada 16 Ogos tahun lepas memutuskan kemenangan Anifah di kerusi itu sebagai tidak sah dan terbatal selepas mendapati ada kertas undi tambahan yang boleh menjejaskan keputusan pilihan raya.

Anifah kemudiannya meninggalkan UMNO.

Related posts

Leave a Comment