Lampu 2019 bermula

PUTRAJAYA: Acara Light and Motion Putrajaya (Lampu) bermula hari ini yang bakal mewarnai  langit malam Putrajaya sehingga ambang tahun baharu pada 31 Disember.

Ini kali ketujuh dianjurkan dan dengan tema “Kepelbagaian Malaysia”, Lampu 2019 bakal membawa pengunjung menelusuri sejarah dan kejayaan yang ditempa negara sehingga memasuki era 2020.

Menurut Presiden Perbadanan Putrajaya Datuk Dr Aminuddin Hassim, sebanyak 22 tarikan utama disediakan sepanjang empat hari Lampu berlangsung.

Tumpuan utama, Grand Projection Mapping yang dipancarkan ke Bangunan Istana Kehakiman Putrajaya dengan pencahayaan berbentuk penceritaan.

“Kita (Perbadanan Putrajaya) banyak menyediakan pencahayaan berbentuk Geometri pada tahun lalu, tetapi kali ini kita bawakan pencahayaan yang membawa tema keunikan kebudayaan di Malaysia.

“Di sini kita bawakan China Town, Little India, Laman Kampung Melayu dan kita kumpulkan kesemua budaya ini di Perbadanan Putrajaya,” jelasnya ketika ditemui media pada Jumaat.

Antara tarikan terbaharu, Planetarium 360 yang menyediakan permainan interaksi berasaskan lampu bagi pelbagai lapisan umur.

Selain itu, lebih 1,000 menu juadah turut disediakan dengan lebih 100 gerai dibuka kepada pengunjung.

Pengunjung juga boleh menyaksikan persembahan tarian singa, bangra, silat dan zapin pada sepanjang Lampu berlangsung.

Di ambang tahun baharu pula, pertunjukan bunga api bakal menerangi langit Putrajaya.

Related posts

Leave a Comment