Faham, selidik sebelum tular

SELIDIK  dulu. Itu yang penting sebelum menyebarkan sesuatu yang meragukan atau belum mendapat kepastian. Tidak kira apa juga isu, -lebih lagi melibatkan agama, budaya dan negara. Sebarang penyebaran maklumat atau isu yang tidak tepat boleh menimbulkan rasa cemas, marah dan sebagainya.

Dua isu yang menarik perhatian minggu lalu adalah berkaitan nyanyian lagu Negaraku dalam bahasa Mandarin dan majlis pertunangan anak lelaki kepada seorang saudara baharu ynag berlangsung di sebuah kuil di Pulau Pinang. Akibat fakta yang tidak tepat atau penjelasan yang agak longgar telah mengundang pelbagai persepsi sehingga akhirnya cuba dikaitkan dengan politik.

Dalam isu Negaraku, sebenarnya ada juga lagu dalam bahasa lain yang bukannya bertujuan dinyanyikan di khalayak.  Seni kata dalam bahasa berkenaan adalah untuk memudahkan pemahaman. Penjelasan mengenai isu ini tidak begitu meyakinkan. Ketika kita mengakui pentingnya mereka memahami dalam bahasa Melayu, menyanyi lagu itu dalam bahasa lain tidak sepatutnya berlaku.

Adalah tidak wajar bagi maksud memahami terpaksa mengalunkan lagu itu dalam bahasa lain. Negaraku tidak sepatutnya disamakan dengan lagu-lagu lain yang menjadi siulan masyarakat. Negaraku tidak sewajarnya berada sebaris dengan lagu-lagu Hindi, Arab, Inggeris, Cina dan sebagainya yang boleh diterjemahkan kepada bahasa lain untuk memudahkan kaum-kaum tertentu memahaminya.

Menulis dalam bahasa ibunda untuk mudah memahaminya tidak ada masalah sebaliknya menyanyi dalam bahasa berkenaan yang perlu dielakkan. Kita tidak mahu suatu masa nanti anak-anak ini mungkin akan menyanyikannya di khalayak. Bimbang mereka akan lebih mudah menyanyi dalam bahasa yang mereka faham.

Justeru berhati-hatilah supaya imej Negaraku terpelihara. Lihat sahaja Jalur Gemilang yang bebas diubah menjadi ‘pakaian’. Benar ia menimbulkan rasa bangga terhadap bendera tetapi apakah kesan atau implikasinya?

Isu kedua adalah berkaitan pertunangan di kuil. Masyarakat cemas melihat wanita Melayu bertudung hadir majlis itu sehingga timbul pelbagai tafsiran yang salah.

Wanita Melayu Islam itu sebenarnya adalah isteri kedua kepada bapa lelaki yang bertunang dalam majlis berkenaan. Wanita itu menemani suaminya untuk menghadiri majlis pertunangan anak lelaki itu hasil perkongsian hidup dengan isteri pertama (telah meninggal dunia) yang masih beragama Hindu.

Semua ini salah faham. Akibatnya gambar yang tular itu mengundang pelbagai persepsi yang tidak sepatutnya. Terdahulu, tular tiga keping gambar wanita itu hadir di kuil Flat Rifle Range, Kampung Baharu, Air Itam yang turut dihadiri beberapa lagi individu lain. Gambar tersebut mendapat pelbagai reaksi masyarakat yang kebanyakannya meminta perkara itu disiasat oleh pihak berkuasa.

Mujurlah keluarga berkenaan tampil memberi penjelasan.Justeru berhati-hatilah. Memang mudah ketika ini gambar boleh diambil dan disebarkan dengan pantas. Tetapi setiap gambar memerlukan keterangan yang jelas bukannya mengikut tafsiran atau andaian sendiri.

Related posts

Leave a Comment