RUU IPCMC ditangguh

KUALA LUMPUR: Wakil rakyat pembangkang bersorak selepas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong meminta bacaan kali kedua dan ketiga dua Rang Undang-Undang (RUU) termasuk IPCMC yang mencetuskan kontroversi sebelum ini ditangguhkan ke sesi persidangan akan datang.

RUU Suruhanjaya Bebas Aduan Salah Laku Polis (IPCMC) 2019 serta RUU Perlembagaan (Pindaan) (No 2) 2019 bagi mengehadkan tempoh perjawatan Perdana Menteri tidak dibahaskan pada persidangan kali ini yang akan berakhir Khamis ini.

Datuk Dr Shamsul Anur Nasarah (BN-Lenggong) kemudian bangun dan menegaskan: “Tak berani la tu, kita nak menteri sendiri jawab selepas ini,” katanya.

Bagaimanapun, keadaan semakin kecoh apabila Viu Keong sekali lagi bangun untuk memohon bacaan kali kedua dan ketiga IPCMC ditangguhkan ke persidangan Dewan Rakyat akan datang.

Sejurus permohonan itu dibacakan, beberapa Ahli Parlimen pembangkang, termasuk Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (BN-Bera) dan Datuk Seri Dr Shahidan Kassim (BN-Arau), bangun serta bersorak ‘hidup polis’.

Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim (BN-Baling) turut bersorak ‘hidup Tan Sri Ismail Che Ros (Presiden Persatuan Pesara Pegawai Polis Kanan)’, diselangi sorakan Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman (BN-Pasir Salak): “ya, kita menang”.

Datuk Seri Ahmad Maslan (BN-Pontian) kemudian turut bersorak: “Satu lagi kejayaan, akhirnya kerajaan menyerah kalah. Hidup polis,” katanya.

Susulan penangguhan itu, Speaker, Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof memaklumkan usul daripada Ramkarpal (PH-Bukit Gelugor) untuk meminda IPCMC, ditangguhkan ke sidang Dewan Rakyat akan datang kerana ia berkaitan.

Abdul Latiff Abdul Rahman (PAS-Kuala Krai) kemudian bangun dan mencelah: “Senang tarik balik saja (IPCMC), tak payah bentang,” katanya.m- BHONLINE

Related posts

Leave a Comment