Cubaan seludup beras putih tumpas

JITRA 18 Mac – Pasukan Gerakan Am (PGA) Ulu Kinta, Perak, menggagalkan cubaan dua lelaki tempatan menyeludup 40 tan beras putih dari negara jiran pada Ahad lalu.

Komander Briged Utara PGA Ulu Kinta, Perak, Senior Asisten Komisioner Shahrum Hashim, berkata dua lelaki berusia 30 dan 34 tahun itu ditahan.

Katanya , beras putih itu disyaki diseludup dari negara jiran melalui Rantau Panjang, Kelantan dan dibawa ke utara untuk dipasarkan.

Beliau berkata, tangkapan dibuat hasil operasi penguatkuasaan Kawalselia Padi dan Beras oleh Cawangan Risik Ibu Pejabat Risik Briged Utara, PGA.

Pasukan risikan mengekori mereka dari Hentian Banjaran Titiwangsa hingga ke lokasi tangkapan.

“Kita percaya beras itu untuk dibawa ke kilang sekitar Jitra untuk dibungkus semula,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Shahrum berkata, beras dirampas dianggar bernilai RM160,000 manakala keseluruhan rampasan termasuk lori bernilai kira-kira RM510,000.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 7(2) Akta 522 Akta Kawalselia Padi dan Beras 1994.

Jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM15,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

“Bagi kesalahan kedua atau berikutnya, boleh didenda tidak melebihi RM25,000 atau dipenjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya,” katanya.

Beliau berkata, Briged Utara PGA giat melakukan pengawasan dan rondaan sekitar Perak, Pulau Pinang dan Kedah bagi mengekang aktiviti menyalahi undang-undang.

Related posts

Leave a Comment