Kempen tiada beg plastik mulai 1 Mac

TANJONG 15 Feb. – Kempen tiada beg plastik setiap hari di negeri ini akan bermula pada 1 Mac ini, dalam usaha kerajaan melindungi alam sekitar dan mencapai masa depan yang mampan.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Alam Sekitar Pulau Pinang, S Sundarajoo, berkata ia bermula dengan kempen pengagihan beg guna semula secara percuma bagi menggalakkan penggunaannya dan membantu penduduk beralih kepada amalan lebih lestari.

“Kita akan memberi tempoh enam bulan bagi peringkat penguatkuasaan secara berhemah, iaitu bermula 1 Mac hingga 31 Ogos tahun ini.

“Ia bagi membolehkan perniagaan serta orang awam membiasakan diri dengan peraturan baharu itu, manakala penguatkuasaan penuh akan bermula 1 September depan.

Untuk permulaan, Pulau Pinang Green Council akan membekalkan 100,000 beg kitar semula kepada penduduk selama tiga bulan pertama kempen. Selepas itu, beg berkenaan akan dijual,” katanya selepas melancarkan Kempen Tiada Beg Plastik Setiap Hari Pulau Pinang 2025 di Terminal Swettenham Pier Cruise, di sini.

Program ‘tiada beg plastik percuma’ diperkenalkan kerajaan negeri pada 2009, sekali gus menyaksikan Pulau Pinang muncul negeri pertama mengarahkan peniaga tidak membekalkan beg plastik kepada pelanggan secara percuma.

Pulau Pinang sebelum ini memperkenalkan tiada beg plastik pada Isnin hingga Rabu, manakala dari Khamis hingga Jumaat pula setiap beg plastik dikenakan caj RM1 dengan mengutip RM8 juta hasil program itu sejak 2009.

Beliau berkata, kempen tiada beg plastik setiap hari itu bukan sekadar dasar tetapi seruan membentuk budaya kelestarian, dengan penduduk diminta mengurangkan sisa plastik dan menyumbang ke arah masa depan lebih bersih serta hijau.

“Kita juga ingin menekankan peranan perniagaan di negeri ini, terutama yang diwajibkan mematuhi peraturan Beg Plastik 2.0.

“Ia membabitkan pasar raya besar, gedung serbaneka, kedai serbaneka, pasar raya, restoran makanan segera, kedai serbaneka di stesen minyak, rangkaian kedai, farmasi dan premis perniagaan,” katanya

Bagaimanapun pengecualian diberi kepada gerai, penjaja serta peniaga kecil.

Kerajaan negeri juga sedang merangka satu rangka kerja komprehensif bukan saja untuk membasmi penggunaan beg plastik tetapi juga mengurangkan penggunaannya di seluruh Pulau Pinang secara beransur-ansur.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment