Negara-negara Arab kekal tolak hasrat Trump

KAHERAH – Mesyuarat menteri-menteri enam negara Arab di sini semalam (Sabtu)  menolak sebarang rancangan untuk memindahkan penduduk Palestin dari Gaza dan Tebing Barat yang diduduki.

Jordan, Emiriyah Arab Bersatu (UAE), Arab Saudi, Qatar, Mesir, Pihak Berkuasa Palestin dan Liga Arab menyatakan sokongan penuh terhadap keteguhan rakyat Palestin di tanah air mereka, serta hak sah mereka selaras dengan undang-undang antarabangsa.

Menurut kenyataan bersama yang dikeluarkan, rancangan sedemikian mengancam kestabilan rantau ini, berisiko mencetuskan perluasan konflik, dan menjejaskan prospek keamanan serta kewujudan bersama dalam kalangan penduduknya.

Mesyuarat itu diadakan susulan kenyataan berulang Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump yang mencadangkan penempatan semula rakyat Palestin di luar wilayah mereka, termasuk di Mesir dan Jordan.

Kenyataan itu dikeluarkan selepas mesyuarat yang diadakan atas jemputan Mesir dan dihadiri wakil Jordan, UAE, Arab Saudi, Qatar serta Mesir, bersama Setiausaha Agung Jawatankuasa Eksekutif Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) bagi Negara Palestin dan Setiausaha Agung Liga Arab.

Sementara itu, enam negara berkenaan menyuarakan kesediaan untuk bekerjasama dengan pentadbiran Trump bagi mencapai perdamaian menyeluruh di Asia Barat berdasarkan penyelesaian dua negara serta usaha menamatkan konflik di rantau itu.

Mereka turut menggesa masyarakat antarabangsa, kuasa serantau dan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melaksanakan penyelesaian dua negara bagi menangani punca ketegangan di Asia Barat.

Negara-negara berkenaan turut menegaskan peranan penting dan tidak boleh digantikan oleh Agensi Bantuan dan Kerja Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin di Asia Barat (UNRWA) serta menolak sebarang cubaan untuk mengetepikan atau mengehadkan peranannya.

Nnn

Related posts

Leave a Comment