PUTRAJAYA 31 Jan. – Gaji minimum baharu RM1,700 berbanding RM1,500 sebelum ini yang berkuat kuasa esok, 1 Februari akan memanfaatkan 4.37 juta pekerja selaras dengan agenda menekankan keadilan sosial dan kesejahteraan.
Perintah gaji minimum baharu itu ditetapkan kepada majikan yang menggajikan lima orang pekerja atau lebih serta majikan menjalankan suatu aktiviti profesional, tanpa mengambil kira bilangan pekerja yang digajikan oleh majikan berkenaan.
Menurut Kementerian Sumber Manusia (KESUMA), bagi majikan yang menggajikan kurang daripada lima pekerja, tarikh kuat kuasa bermula pada 1 Ogos bagi memastikan majikan diberi tempoh mencukupi untuk melakukan penyesuaian dalam struktur gaji dan operasi syarikat masing-masing.
KESUMA dalam kenyataannya memaklumkan semua majikan diwajibkan mematuhi Perintah Gaji Minimum terbabit dan memastikan pekerja mereka menerima gaji pokok tidak kurang daripada RM1,700 sebulan.
Kegagalan mematuhi Perintah Gaji Minimum itu adalah satu kesalahan dan boleh didenda sebagaimana diperuntukkan di bawah Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011 (Akta 732).
Bagi memastikan peralihan ini dapat berjalan lancar, KESUMA menyediakan beberapa inisiatif sokongan kepada majikan dan pekerja, termasuk menyediakan saluran aduan dan pemantauan bagi pekerja yang menghadapi ketidakpatuhan menerusi menerusi Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM), Jabatan Tenaga Kerja Sabah, dan Jabatan Tenaga Kerja Sarawak.
KESUMA juga bekerjasama dengan agensi berkaitan untuk memberi panduan dan bantuan kepada syarikat yang memerlukan penyesuaian dalam struktur gaji.
Katanya, KESUMA mengingatkan bahawa gaji minimum tidak sepatutnya dijadikan penanda aras gaji permulaan kepada semua pekerja khususnya siswazah dan pekerja perlu diberi gaji setimpal berdasarkan kemahiran.
Pelaksanaan Perintah Gaji Minimum ini merupakan pendekatan besar KESUMA dalam meningkatkan pendapatan kaum pekerja selain pelaksanaan Dasar Gaji Progresif dan usaha merancakkan latihan kemahiran sebagai kaedah meningkatkan keberhasilan dan gaji pekerja.
Nnn
