SEREMBAN 21 Dis. – Menteri Luar, Mohamad Hasan, telah menjelaskan kompaun yang dikenakan oleh Pejabat Kesihatan Daerah Seremban (PKDS) itu sehari selepas menerima notis berhubung kesalahan merokok.
Mohamad yang juga Ahli Parlimen Rembau berkata, beliau menjelaskan kompaun yang dikenakan sehari selepas menerima notis berkenaan. dan tiada apa lagi yang berbangbangkit.
Beliau bagaimanapun enggan menyatakan jumlah kompaun yang dibayar tetapi menyatakan urusan berkenaan telah selesai.
“Syukurlah kompaun yang dikenakan itu tidak terlalu tinggi dan semuanya telah selesai,” katanya selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Pertandingan E-Sport Piala Tok Mat 2024, di Kip Mall Lavender Height Senawang, di sini, hari ini.
Sebelum ini, tular foto Mohamad atau lebih dikenali Tok Mat sedang memegang sebatang rokok ketika duduk bersama sekumpulan lelaki di premis awam dipercayai sebuah restoran.
Perbuatan itu jelas melanggar Akta Kawalan Produk Merokok demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852).
Peraturan 11 di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 menyatakan bahawa sesiapa yang didapati bersalah merokok di kawasan larangan boleh dikenakan denda sehingga RM10,000 atau penjara maksimum dua tahun.
Khamis lalu, Mohamad tampil mengakui kesilapannya merokok di tempat larangan dan beliau menyatakan akan membayar kompaun yang dikenakan oleh Kementerian Kesihatan (KKM).
Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad, turut menegaskan bahawa tiada siapa pun boleh mengatasi undang-undang, dan pejabat Menteri Luar telah dimaklumkan mengenai perkara berkenaan.
