Sweden edar risalah hadapi perang

STOCKHOLM – Sweden mengedarkan jutaan risalah menasihatkan penduduk bersiap sedia menghadapi kemungkinan perang sementara Finland melancarkan laman web mengumpul maklumat mengenai kesiapsiagaan menghadapi krisis yang berbeza.

Tindakan itu diambil ketika Ukraine menentang pencerobohan Russia yang sudah berlanjutan selama tiga tahun.

Negara-negara Nordic yang sebelum ini memilih untuk tidak menyertai mana-mana pakatan tentera selama beberapa dekad, kini memutuskan untuk menyertai Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) susulan pencerobohan Russia pada 2022 ke atas Ukraine.

“Situasi keselamatan adalah serius dan kita semua perlu mengukuhkan daya tahan menghadapi pelbagai krisis dan akhirnya peperangan,” kata Pengarah Agensi Kontingensi Awam Sweden (MSB), Mikael Frisell yang menghantar risalah itu.

Sejak permulaan perang di Ukraine, Stockholm berulang kali menggesa rakyat Sweden supaya bersedia dari segi mental dan logistik menghadapi kemungkinan konflik bersenjata.

Bagaimanapun selepas berakhirnya Perang Dingin, negara itu secara drastik mengurangkan perbelanjaan pertahanannya berikutan lebih menumpukan usaha ketenteraannya pada misi pengaman antarabangsa.

Risalah setebal 32 muka surat ‘Jika Krisis atau Perang Tercetus’ mula diedarkan sejak semalam dan 5.2 juta isi rumah dijangka menerima risalah itu dalam tempoh dua minggu akan datang.

Ia mengandungi maklumat mengenai cara bersiap sedia menghadapi peperangan, bencana alam dan serangan siber atau keganasan.

Ia turut memuatkan panduan atau tips termasuk menyimpan stok makanan dan air yang tidak mudah rosak, menyimpan wang tunai di tangan dan menanam buah-buahan dan sayur-sayuran di taman.

Risalah ini tersedia dalam bentuk cetakan dalam kedua-dua bahasa Sweden dan Inggeris dan versi digital tersedia dalam beberapa bahasa lain termasuk bahasa Arab, Farsi, Ukraine, Poland, Somalia dan Finland.

Sementara itu, kerajaan di Finland melancarkan laman web mengumpul maklumat mengenai kesiapsiagaan menghadapi krisis yang berbeza.

Finland berkongsi sempadan 1,340 kilometer dengan Russia dan Helsinki telah mengekalkan tahap kesediaan yang lebih tinggi.

Related posts

Leave a Comment