Selangor rekod 387 kes dera kanak-kanak

SHAH ALAM 13 Nov . –  Polis Selangor merekodkan 387 kes penderaan kanak-kanak dengan sebahagian besarnya membabitkan mangsa berumur satu tahun dan ke bawah, sepanjang tempoh antara Januari hingga Oktober lalu.

Ketua Polis Selangor,  Hussein Omar Khan, berkata ia membabitkan 139 mangsa berusia kosong hingga satu tahun; dua hingga lima tahun (96); enam hingga 10 tahun (62); 11 hingga 15 tahun (49); dan 16 hingga 18 tahun (41).

Katanya, sebanyak 37 kes terbabit dicatatkan pada Januari lalu, Februari (40), Mac (35), April (22), Mei (35), Jun (33), Julai (42), Ogos (43), September (56) dan Oktober (44).

“Daripada jumlah itu, pengasuh muncul suspek tertinggi penderaan membabitkan sebanyak 89 kes, diikuti ibu/bapa kandung dan guru dengan masing-masing 78 kes; ibu/bapa tiri (69); murid (56); serta jiran (17),” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Pusat Temu Duga Kanak-Kanak (CIC) D11 Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, di sini, hari ini.

Hussein berkata, hasil siasatan mendapati punca kebanyakan insiden penderaan terhadap kanak-kanak berkenaan ialah akibat kecuaian dan pengabaian, selain kurangnya kesedaran terhadap kanak-kanak.

Selain itu, faktor sikap membabitkan golongan pengasuh, penjaga serta ibu bapa itu sendiri yang cuai dan leka, misalnya meninggalkan bayi atau kanak-kanak bersendirian sehingga memberikan risiko kepada mangsa,.

Menurut beliau lagi, angka kes penderaan kanak-kanak merekodkan sedikit peningkatan berbanding sebelum ini berikutan jumlah populasi yang tinggi di Selangor, termasuk susulan pertambahan penduduk.

Mengenai CIC, Hussein memaklumkan bahawa ia adalah CIC kedua di Selangor dan beroperasi sejak Mac lalu di Balai Polis Seksyen 11.

“Penubuhan CIC ini mengambil kira peningkatan jumlah kes dengan seramai 875 kanak-kanak sudah ditemu duga, tahun ini, membabitkan pelbagai kes seperti penderaan, pengabaian dan seksual.

“Bangunan ini menempatkan ruangan serta pelbagai kemudahan serba lengkap, antara lain bilik khas temu duga dan rakaman bagi proses siasatan, menyediakan keadaan kondusif kepada ibu bapa, serta ruang menunggu yang selesa,” katanya.

CIC pertama dibuka 10 tahun lalu di Seksyen 7, Shah Alam, dan terdapat keperluan untuk penubuhan pusat baharu berikutan peningkatan kes membabitkan kanak-kanak.

NNN

Related posts

Leave a Comment