BEIRUT – Israel menyerang kira-kira 300 sasaran Hizbullah di Lubnan dalam tempoh 24 jam, dalam usaha menjejaskan kewangan kumpulan itu dan pada masa sama terus menggempur Gaza.
Sejak kelmarin, tentera rejim Zionis, mendakwa memusnahkan bilik kebal mengandungi peti besi bawah tanah dengan wang tunai dan emas bernilai puluhan juta dolar di hampir 30 sasaran firma cabang kewangan yang ada kaitan dengan Hizbullah, Al-Qar al-Hassan,
Jurucakap Tentera Israel, Laksamana Muda Daniel Hagari, mendakwa wang dan emas dalam peti besi itu digunakan untuk membiayai serangan Hizbullah ke atas Israel manakala satu lagi ‘bunker’ belum menjadi sasaran dianggarkan menyimpan sekurang-kurangnya setengah bilion dolar dalam bentuk wang tunai dan emas.
Tentera rejim Zionis berikrar untuk melancarkan serangan lanjut petang semalam, termasuk menyasarkan kubu kuat Hizbullah di pinggar selatan ibu kota Beirut, yang kini giat diserang sejak beberapa minggu kebelakangan.
Tidak lama selepas tentera Israel menggesa penduduk mengosongkan ibu kota, Agensi Berita Nasional (NNA) Lubnan melaporkan Ouzai yang berjiran dengan Beirut turut diserang buat kali pertama, sebelum sempat penduduk mematuhi arahan berpindah.
Menurut penyelamat yang bersekutu dengan Hizbullah, anggotanya sedang mencari mangsa yang terselamat di tengah-tengah kemusnahan besar di Ouzai.
“Mereka tidak meninggalkan seinci pun ruang untuk orang ramai menyelamatkan diri. Serangan dilakukan serta merta selepas amaran itu,” katanya.
Dalam kenyataan berasaingan, Kementerian Kesihatan Lubnan memaklumkan, walaupun hospital mengalami kerosakan besar, fasiliti itu masih menerima sejumlah besar pesakit.
Pada masa sama, kementerian menafikan dakwaan tentera Israel kononnya Hizbullah menyimpan wang dan emas bernilai setengah bilion dolar di bawah Hospital Sahel di selatan Beirut.
