Ikrar calon BN teruskan legasi Sharifah Azizah

KLUANG – Syed Hussien Syed Abdullah berikrar meneruskan legasi ditinggalkan Allahyarham Datuk Sharifah Azizah Syed Zain sekiranya mengekalkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota pada Pilihan Raya Kecil (PRK) 28 September ini.

Ketua Pemuda UMNO Kluang itu berkata, Allahyarham meninggalkan banyak jasa di DUN Mahkota dan sebagai orang parti, beliau akan meneruskan apa sahaja yang dibuat Ketua Wanita UMNO Bahagian Kluang itu.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas diumumkan sebagai calon Barisan Nasional (BN) PRK DUN Mahkota oleh Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi di sini, hari ini.

Pada masa sama, Syed Hussien turut berterima kasih kepada Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Onn Hafiz dan Ketua Bahagian UMNO Kluang, Datuk Jais Sarday kerana memberi peluang beliau mewakili BN di PRK Mahkota.

Syed Hussein berkelulusan bidang perniagaan daripada Universiti Teknologi Malaysia (UTM) selain berpengalaman lebih 10 tahun bersama UMNO.

Berkhidmat sebagai Ahli Majlis Perbandaran Kluang (Zon Seri Impian) sehingga kini, beliau pernah menjadi Ketua Pemuda UMNO Cawangan Kampung Palembang Lama sejak 2013 sehingga 2022.

Bapa kepada dua anak itu dipilih sebagai calon BN bagi mempertahankan DUN Mahkota selepas Sharifah Azizah meninggal dunia akibat pendarahan dalaman pada 2 Ogos lalu.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Mac 2022, Allahyarham Sharifah Azizah berjaya merampas kembali kerusi DUN Mahkota daripada Pakatan Harapan (PH) dengan majoriti 5,166 undi.

Allahyarham meraih 16,611 undi dalam saingan empat penjuru menewaskan Taqiuddin Che Man dari Amanah, Mohamad Nor Lingan yang mewakili Perikatan Nasional (PN) serta calon Parti Warisan, Mohamed Noor Suleiman.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari penamaan calon pada 14 September ini dan pengundian awal 24 September ini.

Mengikut Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) yang dikemas kini hingga 2 Ogos lalu, DUN Mahkota mempunyai 66,318 pemilih terdiri daripada 61,397 pengundi biasa selain 4,410 anggota tentera dan pasangan, 401 (anggota polis) serta 10 pengundi tidak hadir (PTH) luar negara.

Dari segi komposisi kaum, DUN Mahkota merangkumi 56 peratus pengundi Melayu atau 37,228 orang, Cina (34 peratus atau 22,468), India (8 peratus atau 5,147) dan lain-lain (dua peratus atau 1,475).

Nnn

Related posts

Leave a Comment