KUALA LUMPUR 23 Jun – Pas tetap kekal bersama gabungan serta kerjasama Perikatan Nasional (PN) dan menganggap kenyataan Ketua Penerangan PKR, Fahmi Fadzil, bahawa parti itu mahu menyertai Kerajaan Perpaduan sebagai imaginasinya sendiri.
Setiausaha Agung Pas, Takiyuddin Hassan, berkata kenyataan Jurucakap Kerajaan Perpaduan itu juga tiada kaitan dengan realiti politik.
“Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil seharusnya bersikap lebih telus dan tidak terus syok sendiri dengan permainan persepsi serta fitnah untuk memburukkan pesaing politik Putrajaya, terutama Pas,” katanya dalam satu kenyataan.
Takiyuddin berkata kenyataan Fahmi jelas bertujuan mengelirukan orang ramai dan menimbulkan persepsi buruk terhadap Pas terutama dalam kalangan pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap yang akan mengundi pada 6 Julai.
Justeru ahli dan penyokong PN tidak harus terperangkap dengan politik dan publisiti murahan pemimpin Pakatan Harapan (PH) ini,” katanya.
Sebelum ini, Fahmi dilaporkan berkata terdapat banyak perbincangan antara pimpinan Pas dan Kerajaan Perpaduan yang dikaitkan dengan dakwaan Pas mahu menyertai Kerajaan Perpaduan.
Menurut laporan media, Fahmi berkata perbincangan termasuklah yang dilakukan menteri besar daripada Pas contohnya dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Takiyuddin berkata rundingan yang disebut Fahmi terutama antara menteri besar di negeri yang ditadbir Pas dengan Perdana Menteri adalah rundingan biasa berkait urusan pentadbiran pusat dan negeri dalam sebuah negara Persekutuan.
“Amat memalukan seorang bertaraf Menteri tidak dapat memahami antara politik dengan pentadbiran, apatah lagi konsep Federalisma,” katanya.
Pada masa sama, Takiyuddin yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu, mendakwa Fahmi terpaksa mengalihkan perhatian orang ramai kepada Pas dan PN dengan isu yang tidak berbangkit susulan kelemahan kerajaan terutama dalam mengendalikan kesan langkah penyasaran subsidi diesel.
“Suka ditegaskan bahawa Pas tetap kekal bersama gabungan serta kerjasama PN dan iltizam ini disebut sebelum ini oleh Timbalan Presiden Pas Datuk Sri Tuan Ibrahim Tuan Man serta Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Ahmad Yahya.
“Perlu juga ditegaskan bahawa Pas bukan seperti parti dalam gabungan kerajaan yang sering mengubah janji dan pendirian mereka ketika sebelum pilihan raya dan selepasnya atau pada bila-bila masa lain yang perlu apabila tersepit dengan keadaan,” katanya.
Nnnn
