PP-KPR pantau kempen PRK Sungai Bakap

NIBONG TEBAL 22 Jun – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menubuhkan dua Pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya (PP-KPR) bagi memantau aktiviti calon yang bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap.

Timbalan Pengerusi SPR, Dr Azmi Shahron, berkata calon yang membayar deposit bahan kempen pilihan raya adalah tertakluk kepada undang-undang kecil pihak berkuasa tempatan.

Katanya, ia sebagaimana diperuntukkan mengikut Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 [Akta 5], bagi tujuan mempamer dan mengedarkan bahan kempen pilihan raya yang mengandungi gambar calon, lambang, simbol parti dan gambar pemimpin parti gabungan atau komponen secara bersama atau berasingan.

“Semua kaedah dan bahan kempen adalah dibenarkan selagi mana tidak mengembangkan perasaan jahat, tidak puas hati atau permusuhan atau berunsur perkauman dan menyentuh sensitiviti keagamaan.

“Ia termasuk isu 3R (kaum, agama dan raja) serta tidak melanggar peruntukan Akta 5 dan undang-undang lain yang berkaitan,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Azmi berkata SPR berharap aktiviti berkempen berjalan dalam suasana yang penuh harmoni serta mengikut undang-undang dan peraturan yang ditetapkan.

Sementara itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyediakan talian khas bagi pertanyaan sepanjang perjalanan pilihan raya iaitu Pusat Kawalan Kontinjen (CCC) Pulau Pinang (04-2643122) dan Pusat Kawalan Daerah Seberang Perai Selatan (DCC) (04-5820184).

Ketua Polis Pulau Pinang,  Hamzah Ahmad berkata, pihaknya juga sudah bertemu dengan wakil parti politik yang bertanding dan menyampaikan berkenaan isu keselamatan serta kawalan lalu lintas termasuk lokasi penutupan jalan.

Katanya, pihak polis juga memohon kerjasama serta mengingatkan orang awam supaya patuh terhadap undang-undang dan peraturan yang berkuat kuasa semasa tempoh berkempen sehingga tamat pilihanraya.

“Ia adalah bagi memastikan supaya tiada insiden yang tidak diingini berlaku. Semua parti politik yang terbabit dalam pilihan raya ini dinasihati supaya mematuhi segala peraturan serta keselamatan dan lalulintas dari masa ke semasa bagi kelancaran proses PRK,” katanya.

Nnn

Related posts

Leave a Comment