IPOH 21 Jun – Mulai 1 Januari 2025, Kerajaan Perak akan mengenakan bayaran tambahan sebanyak RM3 sebagai Caj Perkhidmatan Tempatan (CPT) bagi pengunjung yang menginap di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Perak, Sandrea Ng Shy Ching, berkata caj baharu itu tertakluk kepada bilik penginapan berbayar untuk setiap malam, selain termaktub mengikut Enakmen Hotel 2023 yang diluluskan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak pada tahun lalu.
Beliau berkata, caj seumpama itu sudah dilaksanakan oleh beberapa negeri lain dengan pelbagai nama dan tafsiran berlainan.
“Tarikh kuat kuasa pelaksanaan bayaran ini ditangguhkan kepada 1 Januari 2025 bagi menghargai kedatangan pengunjung yang memeriahkan Tahun Melawat Perak 2024 sehingga hujung tahun ini,” katanya pada sidang media di sini.
Sandrea berkata, caj yang dikenakan terhadap pengunjung itu adalah inisiatif tambahan yang dilihat berpotensi membantu kerajaan negeri meningkatkan mutu perkhidmatan, khususnya di pelbagai lokasi pelancongan seluruh negeri.
