PUTRAJAYA 19 Jun – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan Mesyuarat Khas Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri pada 28 Jun ini bagi membincangkan pelaksanaan pilihan raya berkenaan.
Setiausaha SPR, Ikmalrudin Ishak, berkata mesyuarat itu susulan kekosongan luar jangka kerusi N.43 Nenggiri.
Katanya, SPR sudah menerima pemakluman rasmi daripada Speaker Dewan Negeri Kelantan, Mohd Amar Nik Abdullah berhubung kekosongan luar jangka kerusi itu berikutan penyandangnya, Mohd Azizi Abu Naim hilang keahlian Bersatu pada 13 Jun lalu.
“Sebagaimana diperuntukkan di bawah Fasal (3) Perkara 31A Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan, kekosongan luar jangka berkenaan hendaklah diisi dalam tempoh 60 hari dari tarikh SPR menerima pemakluman berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, Mohd Amar dalam sidang media di pejabatnya, mengumumkan kerusi DUN Nenggiri dikosongkan berkuat kuasa hari ini selepas Mohd Azizi hilang keahliannya dalam Bersatu.
Mohd Azizi yang juga Ahli Parlimen Gua Musang adalah salah seorang daripada enam wakil Rakyat Bersatu yang dilaporkan terhenti keahlian susulan keputusannya menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.
Nnnn
