MINA 17 Jun- Jemaah haji hari ini mula melontar jamrah, melaksanakan wajib haji selepas lebih 1.8 juta jemaah wukuf dan meninggalkan Arafah petang semalam untuk bermalam di Muzdalifah dan mengumpul batu kerikil untuk melontar jamrah di Mina.
Jemaah haji akan menghabiskan tiga hari berikutnya di Mina bagi melontar batu ke arah tiga tiang, yang melambangkan lontaran batu ke arah Iblis.
Mereka melakukan ibadah melontar di Jamrah al-Aqabah pada hari pertama melontar, iaitu 10 Zulhijjah dikuti dua atau tiga hari berikutnya, melontar tujuh batu masing-masing di ketiga-tiga jamrah, iaitu Jamrah al-Ula, Jamrah al-Wusta dan Jamrah al-Aqabah.
Mereka kemudian akan bergerak ke Makkah untuk tawaf mengelilingi Kaabah di Masjidilharam, sebelum melaksanakan sai’e antara Safa dengan Marwah dan menyempurnakan ibadat haji dengan bertahallul, iaitu mencukur atau memotong sekurang-kurang tiga helai rambut.
Selesai menunaikan haji itu di Makkah, sebahagian jemaah akan bertolak ke Madinah untuk menziarahi Makam Rasulullah SAW dan peluang beribadat di Masjid Nabawi.
Sementara itu, Menteri Haji dan Umrah Saudi, Tawfiq Fawzan Al-Rabiah, berkata lebih 1.83 juta umat Islam menunaikan haji pada 2024, berbanding 1.84 juta tahun lalu.
Tahun ini, ibadah Haji dijalankan dalam keadaan mencabar dengan suhu dilaporkan meningkat sehingga 47 darjah Celsius di Arafat pada Sabtu.
