BAITULMAQDIS: Mahkamah Israel mengekalkan sekatan selama 35 hari sehingga 8 Jun ini ke atas operasi Al Jazeera di Israel dengan alasan untuk tujuan keselamatan.
Bagaimanapun menurut laporan media, seorang menteri dalam kerajaan berharap sekatan itu dilanjutkan selama 45 hari lagi apabila ia berakhir Sabtu ini.
Susulan itu, Pejabat Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Amerika Syarikat mengkritik penutupan operasi itu.
Pada 5 Mei lalu, pihak berkuasa Israel menyerbu bilik hotel di Baitulmaqdis yang digunakan sebagai premis pejabat Al Jazeera dan memaklumkan, mereka menutup operasi media itu sepanjang tempoh perang Gaza.
Syarikat itu juga didakwa menggalakkan permusuhan terhadap Israel tetapi Al Jazeera menyangkal tuduhan itu sebaliknya menyifatkan ia satu ‘pembohongan yang tidak masuk akal’, malah mengakibatkan wartawannya dalam situasi bahaya.
Hakim Mahkamah Daerah Tel Aviv, Shai Yaniv, berkata pihaknya menerima bukti mengenai hubungan erat yang lama terjalin antara kumpulan pejuang Hamas dan penyiar yang disokong Qatar, Al Jazeera, malah menuduh saluran media itu mempromosikan perjuangan Hamas .
Bagaimanapun dalam kenyataannya, mahkamah tidak menyatakan perinciannya.
“Kebebasan bersuara amat penting ketika perang. Bagaimanapun, apabila terdapat kemudaratan ketara kepada keselamatan negara, pertimbangan yang paling utama didahulukan,” kata kenyataan itu.
Sementara itu, menerusi satu dokumen mahkamah, Al Jazeera yang mengkritik operasi ketenteraan Israel di Gaza dan turut memberi laporan sepanjang perang itu memberitahu mahkamah, ia tidak menghasut dan menjurus ke arah keganasan.
Al Jazeera malah mendakwa, bahawa sekatan itu bersifat berat sebelah.
Mengenai dakwaan hubungan dengan Hamas, pihak Al Jazeera berkata, wartawannya mempunyai pelbagai sumber sulit di kedua-dua pihak iaitu Israel dan Palestin.
Saluran media itu juga menuduh Israel sengaja membunuh beberapa wartawannya di Gaza tetapi disangkal Israel dengan menegaskan ia tidak menyasarkan wartawan sepanjang perang berkenaan.
