Perancis isytihar darurat di New Caledonia

NOUMEA: Perancis mengisytiharkan darurat bermula hari ini, dengan mengarahkan tentera mengawal pelabuhan dan lapangan terbang antarabangsa di New Caledonia, selepas rusuhan berdarah sejak kelmarin.

Selama dua hari rusuhan yang berterusan, empat orang maut termasuk seorang anggota tentera manakala ratusan lagi cedera.

Rusuhan itu tercetus selepas Dewan Perhimpunan Kebangsaan di Parlimen Perancis menyokong perubahan pada daftar pengundian, yang didakwa akan mengurangkan peratusan undi penduduk etnik Kanak di New Caledonia.

Mereka pada dasarnya menolak keputusan Dewan Perhimpunan Kebangsaan Perancis, yang bersidang 17,000 kilometer (km) jauhnya dari New Caledonia, untuk membenarkan orang yang tinggal di kepulauan itu selama 10 tahun membuang undi

Namun, pembaharuan itu masih perlu diluluskan dalam sidang bersama di kedua-dua dewan Parlimen Perancis.

New Caledonia, yang terletak di antara Australia dan Fiji, adalah salah satu daripada beberapa wilayah di seluruh dunia yang kekal sebagai sebahagian daripada jajahan Perancis dalam era pasca kolonial.

Walaupun penduduk New Caledonia menolak kemerdekaan dalam tiga referendum yang diadakan sebelum ini, mereka masih mahu mengekalkan kekuatan padu dalam kalangan orang Kanak, merangkumi 41 peratus daripada keseluruhan penduduk.

Susulan rusuhan itu, Presiden Perancis, Emmanuel Macron, berhasrat mengadakan rundingan dengan ahli Parlimen New Caledonia, selain mengarahkan pasukan keselamatan turun padang dan perintah berkurung pada waktu malam untuk menghentikan keganasan terburuk dalam tempoh empat dekad.

Jurucakap kerajaan, Prisca Thevenot, berkata, Macron menggesa rundingan politik disambung semula.

“Namun, pada masa sama, kerajaan menguatkuasakan pengisytiharan darurat bermula hari ini,” katanya.

Kes rusuhan bertambah ganas apabila bangunan awam dilaporkan turut dibakar dan kedai dirompak, selain 70 ditahan dalam tempoh 24 jam yang lalu termasuk aktivis kemerdekaan.

Sementara itu, Perdana Menteri Perancis, Gabriel Attal, memberitahu mesyuarat menteri bahawa tentera sudah dikerahkan untuk mengawal pelabuhan dan lapangan terbang antarabangsa.

Beliau berkata, wakil kerajaan di New Caledonia juga sudah mengharamkan TikTok kerana kemudahan platform media sosial itu itu disalahgunakan oleh perusuh.

“Lapangan terbang New Caledonia juga ditutup untuk penerbangan antarabangsa,” katanya yang menyifatkan keadaan di New Caledonia kini buruk tetapi keutamaan kerajaan adalah untuk memulihkan keamanan di situ.

Related posts

Leave a Comment