DOHA: Semua kepimpinan Hamas akan terbabit sepenuhnya dalam memutuskan pemerintahan pasca perang di Gaza, bersama kumpulan Palestin lain tanpa membabitkan mana-mana pihak asing, kata Ismail Haniyeh.
Ketua Hamas itu menegaskan perbincangan mengenai perkara itu hanya akan diputuskan bersama pimpinan parti lain di Palestin.
“Hamas akan terus kekal berada di sini dan hanya pergerakan ini bersama semua pihak berkepentingan lain di Palestin yang akan menentukan pemerintahan pasca perang di Gaza,” katanya melalui ucapan yang disiarkan di televisyen.
Pihaknya turut mengakui masa depan rundingan gencatan senjata masih samar kerana kedegilan Israel untuk menakluki laluan Rafah dan memperluaskan pencerobohannya di wilayah Palestin yang diduduki, sejak serangan 7 Oktober lalu.
Ismail berucap sempena ulang tahun ke-76 ‘Nakba’ atau ‘malapetaka’, bagi memperingati sejarah pahit apabila kira-kira 760,000 rakyat Palestin melarikan diri atau dihalau dari rumah mereka semasa pencerobohan Israel pada 1948.
“Sebarang perjanjian damai yang dibuat mesti menjamin pengisytiharan gencatan senjata yang kekal, pengunduran menyeluruh (tentera Israel) dari semua wilayah di Semenanjung Gaza.
“Ia juga perlu membabitkan perjanjian tulus untuk pertukaran tahanan, membenarkan kepulangan penduduk Gaza yang dipindahkan, pembinaan semula dan penamatan kepungan di Gaza,” katanya.
Kenyataan itu dibuat selepas Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, membuat kenyataan bahawa sebarang perbincangan mengenai pemerintahan di Gaza selepas perang hanyalah ‘omong kosong’ selagi Hamas kekal di wilayah berkenaan.
Netanyahu sebelum ini berkata, Hamas tiada kuasa ketenteraan bagi mengawal Gaza dan tiada pihak lain yang sanggup memikul tanggungjawab mentadbir Gaza.
“Syarat pertama untuk menyediakan ruang bagi pihak lain mentadbir adalah dengan memusnahkan Hamas tanpa berdolak dalih lagi,” katanya.
Sebaliknya, Menteri Pertahanan Israel, Yoav Gallant, mengeluarkan kenyataan bercanggah dengan pendirian Netanyahu, mengatakan bahawa pemerintahan di Gaza mesti dipilih dalam kalangan pihak Palestin sendiri selepas Hamas dikalahkan.
“Saya mendesak Netanyahu membuat keputusan dan mengisytiharkan bahawa Israel tidak akan campur tangan atau cuba mengenakan kawalan ke atas penduduk awam di Gaza.
“Hanya puncuk pimpinan dalam kalangan pihak berkepentingan di Palestin wajar dipih sebagai alternatif kepada pentadbiran Hamas. Ini adalah untuk kepentingan Israel sendiri,” katanya.
Tambah Gallant, tindakan ketenteraan Israel di Gaza mesti disusuli dengan penyelesaian politik jika mahu mencapai keamanan di wilayah yang bergolak itu.
Katanya, masa depan Gaza selepas Hamas hanya boleh dibentuk oleh entiti Palestin disertai ‘bantuan’ antarabangsa bagi mewujudkan pemerintahan alternatif.
Nnnn
