Pokok tumbang hempap lima kenderaan

TANJONG 11 Mei – Lima kenderaan yang diletakkan di Jalan Macalister di sini, hari ini mengalami kerosakan selepas dihempap dua batang pokok dipercayai berusia puluhan tahun tumbang pagi ini.

Bagaimanapun tiada kemalangan jiwa dilaporkan susulan beberapa pemilik kenderaan bersama keluarga baru beredar ke restoran yang terletak beberapa meter dari lokasi.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bagan Jermal, Nazril Hisyam Napiah, berkata pihaknya menerima panggilan pada pukul 10.01 pagi membabitkan pokok tumbang.

Katanya, jentera bersama lapan anggota tiba di lokasi 15 minit kemudian dan sebaik

tiba di lokasi, didapati dua pokok tumbang merentangi jalan yang mana satu daripadanya memasuki kawasan parkir bangunan berhampiran.

“Pokok tumbang itu mengenai lima kenderaan dan pagar di bangunan itu turut mengalami kerosakan,” katanya.

Nazril Hisyam berkata, pihak bomba menggunakan khidmat jentera berat berikutan saiz pokok yang besar.

Katanya, kerja pemotongan dan pembersihan perlu dilakukan dengan berhati-hati bagi mengelakkan impak kerosakan lebih teruk terhadap kenderaan.

Operasi pengalihan dan pembersihan turut membabitkan beberapa agensi termasuk Angkatan Pertahanan Awam (APM), Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Pasukan Bomba Sukarela (PBS) berhampiran.

(Foto Pasukan Bomba Sukarela Bukit Bendera Air Itam)

Related posts

Leave a Comment