Pakar PBB kutuk serangan seksual

GENEVA: Sekumpulan tujuh pelapor khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengutuk keganasan seksual terhadap wanita dan kanak-kanak semasa perang di Gaza, terutama aduan berkaitan ramai mangsa ‘hilang’ selepas serangan itu.

Kumpulan pakar bebas yang dilantik oleh Majlis Hak Asasi Manusia PBB terkejut mendapati wanita menjadi sasaran serangan ganas Israel secara sembarangan tanpa perikemanusiaan dan menggunakan kekasaran luar biasa.

“Nampaknya, mereka mahu memusnahkan kehidupan mereka dan menafikan sebarang hak asasi manusia,” kata pelapor itu dalam satu kenyataan.

Kenyataan mereka itu merujuk kepada laporan berterusan mengenai serangan seksual dan keganasan terhadap wanita dan kanak-kanak perempuan, terutama membabitkan mereka yang ditahan oleh tentera Israel.

Kumpulan pelapor itu memetik laporan PBB yang mengatakan wanita dan gadis di Gaza juga menjadi mangsa penculikan dan kerap kali ‘hilang’.

Pakar PBB berkata kemusnahan perumahan di Gaza dan hakikat bahawa rakyat Palestin terpaksa hidup dalam keadaan tidak menentu di khemah sementara memberi kesan negatif kepada wanita dan kanak-kanak perempuan, terutama terhadap keselamatan peribadi dan kerahsiaan mereka.

“Rawatan wanita hamil dan menyusu juga amat membimbangkan, dengan pengeboman berterusan menyasarkan hospital dan penafian akses kepada kemudahan penjagaan kesihatan oleh penembak tepat Israel,” tambah mereka.

Lebih 180 wanita melahirkan anak tanpa ubat menahan sakit, manakala ratusan bayi meninggal dunia akibat kekurangan bekalan elektrik untuk inkubator di samping berlaku lonjakan keguguran.

Mereka berkata, tentera Israel telah memusnahkan klinik kesuburan terbesar di Gaza, yang menyimpan embrio, dan menganggarkan bahawa 690,000 wanita dan kanak-kanak perempuan di Gaza tidak mempunyai akses kepada tuala wanita.

Bagaimanapun misi Israel di Geneva berkata Israel menolak dakwaan yang tidak berasas mengenai serangan seksual dan keganasan dan bersedia untuk menyiasat sebarang dakwaan konkrit salah laku oleh pasukan keselamatannya apabila dikemukakan dengan dakwaan dan bukti yang boleh dipercayai.

Related posts

Leave a Comment