600,000 kanak-kanak di Rafah terancam

NEW YORK: Sekurang-kurangnya 600,000 kanak-kanak di Rafah bakal menghadapi malapetaka sekali lagi susulan paksaan berpindah oleh Israel.

Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) memberi amaran itu jika operasi ketenteraan diteruskan.

“Melihatkan kepadatan kanak-kanak di Rafah, UNICEF memberi amaran akan berlaku malapetaka yang lebih teruk bagi kanak-kanak.

“Ia akan mengakibatkan kematian orang awam yang sangat tinggi dan beberapa perkhidmatan asas serta infrastruktur yang mereka perlukan untuk terus hidup akan musnah sama sekali,” kata UNICEF dalam satu kenyataan.

Tambah UNICEF, belia di Gaza kini sudah pun berada di ambang kematian dan jumlah pelarian di Rafah meningkat kepada 1.2 juta orang, separuh daripadanya kanak-kanak yang sudah berpindah beberapa kali dan tiada tempat lain untuk dituju.

Pengarah Eksekutif UNICEF, Catherine Russell, berkata lebih daripada 200 hari peperangan telah menyebabkan kematian yang tidak dapat dibayangkan ke atas kanak-kanak.

“Rafah kini adalah bandar kanak-kanak yang tidak mempunyai tempat selamat untuk pergi di Gaza selepas sebahagian besar mereka kehilangan ibu bapa.

“Saya memberi amaran, operasi ketenteraan berskala besar oleh Israel akan membawa kekacauan dan panik, pada masa di mana fizikal dan mental (kanak-kanak) sudah lemah,” katanya.

UNICEF menganggarkan bahawa penduduk Rafah telah meningkat kepada hampir lima kali ganda daripada angka normal iaitu 250,000 penduduk.

Badan antarabangsa itu sekali lagi menggesa gencatan senjata diisytiharkan dan akses selamat untuk pertubuhan kemanusiaan disediakan.

Terdapat kira-kira 78,000 bayi di bawah umur dua tahun berlindung di bandar itu, bersama-sama 175,000 kanak-kanak bawah usia lima tahun yang terjejas oleh penyakit berjangkit.

NNN

Related posts

Leave a Comment