BANGKOK: Sekurang-kurangnya 30 orang maut dari Mac hingga April tahun ini di Thailand akibat strok haba, berbanding 37 kematian dari Mac hingga Jun tahun lalu. demikian menurut Kementerian Kesihatan.
Jurucakap Jabatan Kawalan Penyakit daripada Kementerian Kesihatan Awam, Dr Veerawat Manosutthi dalam satu kenyataan, berkata kematian tahun ini membabitkan kumpulan berisiko tinggi daripada golongan tua dan kanak-kanak yang lebih muda serta bayi.
Justeru golongan kanak-kanak, pesakit dan golongan tua diingatkan supaya mengelak daripada terbabit dalam aktiviti di luar bangunan.
Menurut laporan media, suhu di ibu negara, Bangkok mencecah lebih 40 darjah Celcius pada Rabu dan Khamis lalu.
Dr Veerawat menasihatkan, aktiviti seharusnya dihadkan dan elakkan aktiviti di luar bangunan dari pukul 11 pagi hingga 3 petang jika seseorang mesti keluar rumah, penting untuk minum air dengan kerap sekurang-kurangnya dua gelas setiap ja
Elakkan daripada keadaan cuaca panas, pakai pakaian warna cerah yang membenarkan kitaran udara yang baik.
“Selain itu berwaspada terhadap gejala seperti pening kepala, sakit kepala, loya, bernafas dengan kerap, menggigil, merah di muka dan kurang berpeluh, kerana ini menunjukkan strok haba,” katanya.
Beliau berkata, pertolongan cemas asas perlu diberikan, termasuk beralih ke tempat yang lebih sejuk, meletakkan air sejuk atau pek ais di dahi, leher dan ketiak dan longgarkan pakaian.
